Prestasi Chelsea di Liga Perdana kini sudah menjadi bahan lawak dalam kalangan rakyat Twitter sejak kebelakangan ini. 

Sejak Chelsea melepaskan Thomas Tuchel atas sebab prestasi merosot, Potter mengambil alih dan digelar ‘The Chosen One’ oleh penyokong kerana kejayaannya membina satu skuad yang cemerlang di Brighton Hove and Albion namun kini, mungkin beliau tidak sebagus seperti dijangkakan. 

Brighton mempunyai prestasi jauh lebih baik daripada Chelsea sejak bekas jurulatih mereka ‘dicuri’ oleh kelab London itu atas kecerdikan pemain mereka dan jurulatih, Roberto De Zerbi. Mereka turut belasah Potter 4-1 di American Express Community Stadium.

Di Stamford Bridge, pemain seolah-olah mengangkat tangan dan putus asa atas pimpinan Potter dan mereka tidak cuba untuk sembunyikan perasaan mereka di atas padang.

Mungkin kita tidak boleh membuat spekulasi berlebihan tetapi ia susah untuk tidak mengendahkan benda yang jelasnya sedang berlaku.

Penyokong Chelsea berkata mereka tidak faham kenapa pemain yang biasanya bermain dengan baik seperti Reece James dan Ben Chilwell pun kelihatan penat dan tidak bersemangat ketika atas padang. 

“Ia satu benda yang buruk kalau James dan Chilwell, dua pemain terbaik kami pun tidak bermain dengan baik” kata seorang pengguna di Twitter. 

Mereka juga berkata beliau ‘tidak ada personaliti’ berbanding dengan Tuchel yang tidak malu untuk menunjuk perasaannya di tepi padang. 

Mungkin ini satu faktor besar kenapa pemain kurang bersemangat untuk bermain. 

Klip Chelsea di terowong sebelum panaskan badan menjadi bahan kecaman dalam media sosial dengan penyokong berkata, “Aku pernah pergi kubur yang nampak lagi bernyawa daripada skuad ini” .

Dalam klip itu, pemain Chelsea seolah-olah satu kumpulan manusia yang tidak mengenali antara satu sama lain . Macam budak sekolah terpaksa pergi rombongan dan berkawan dengan budak lain yang mereka baru jumpa. 

Skuad ini kehilangan semangat kebersamaan ketika mereka memenangi Champions League dan ini juga satu masalah yang Potter perlu betulkan. 

Salah satu sebab kenapa Arteta dan Ten Hag masing-masing berjaya membina skuad yang baik ialah kerana mereka mempunyai prinsip, “Kau tak main untuk aku, aku takkan buat apa-apa untuk kau”. 

Mereka menegaskan jika pemain tidak menunjukkan mereka mahu main, dan mereka tidak berbaloi untuk berada di kelab mereka. 

Untuk Potter, beliau gagal menunjukkan ketegasan tersebut. Akhirnya, pemain akan melihat beliau sekadar jurulatih, dan bukan pemimpin. 

Arteta dan Ten Hag dalam level yang beza dengan Potter kerana ‘man-management’ mereka yang tahu mengubah pemain kepada pejuang – dan mereka akan BERJUANG untuk pemain mereka juga. 

Potter pula seolah-olah bersikap individulistik dan terdesak untuk menunjukkan beliau tidak terjejas dan tidak peduli tentang kritikan berat dan deraan yang diterimanya di media sosial daripada penyokong. 

Minggu lepas, beliau tiba lewat ke sidang akhbar sebelum menentang Tottenham dan bergurau, “Maaf lambat, saya baru habis meeting krisis!”. 

Mungkin ia satu cubaan untuk kurangkan ketegangan yang boleh dilihat satu dunia, tetapi apa sahaja yang dilakukan oleh Potter kini akan dikecam walaupun beliau sekadar bergurau. 

Kini, beliau perlu cuba membuat kerja senyap-senyap dan menjauhkan pemainnya daripada mata-mata pihak media. 

The Blues setakat ini hanya memenangi 2 perlawanan sejak Disember lalu dan makin hari dan kini, Potter perlu selamatkan kempen mereka atau hadap risiko dibuang sebelum hujung musim. 

*Penulis adalah graduan kewartawanan Uitm.