SEBAHAGIAN bangunan tinggi di Wangsa Maju. - Gambar oleh *angys* - Own work (Wikipedia)

BANDAR raya besar seperti Kuala Lumpur, George Town, Shah Alam atau Johor Bahru bukanlah kawasan paling padat penduduk walau pun ramai mendiami bandar raya berkenaan.

Sebaliknya Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, merupakan kawasan paling padat bukan sahaja dalam WP tetapi seluruh negara. Rasanya ramai warga Wangsa Maju sendiri tidak menyedari fakta ini.

Memetik Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, seperti dilaporkan media baru-baru ini, populasi Wangsa Maju ialah 13,224 orang bagi setiap kilometer persegi.

Kedua paling padat ialah Pandan, Selangor, yang mempunyai kepadatan penduduk 11,442 orang, diikuti Jelutong, Pulau Pinang dengan kepadatan 11,361 orang.

Bagi komposisi penduduk mengikut kumpulan etnik, Kepong di WP Kuala Lumpur mencatatkan jumlah etnik Cina paling ramai dengan jumlah 72.5 peratus. Etnik India terbanyak pula dicatatkan di Ipoh Barat iaitu 25.9 peratus.

Etnik Melayu paling ramai dicatatkan ialah di Setiu, Terengganu, yang mempunyai 99.6 peratus penduduk Bumiputra tertinggi. Seterusnya ialah Hulu Terengganu dengan 99.5 peratus, diikuti Jeli, Kelantan, dengan 99.4 peratus.

Kepadatan Wangsa Maju menggambarkan betapa popular kawasan ini. Ia menjadi tumpuan ramai untuk menjadikannya sebagai tempat kediaman atau bekerja, samaada dalam sektor awam atau swasta, baik di Wangsa Maju sendiri atau ibu kota. Ini kerana pusat bandar raya tidak jauh.

Mengambil kira kedudukan Wangsa Maju yang pesat membangun, bersempadan pula dengan Hulu Kelang, Selangor, yang juga kawasan tumpuan ramai, maka kedua-dua kawasan ini sama-sama bergerak maju menjadi antara kawasan paling disukai.

Pelbagai industri yang wujud di Hulu Kelang, seperti elektronik dan farmaseutikal, menyedian banyak peluang pekerjaan kepada penduduk WP dan Selangor. Ramai mereka yang bekerja dalam sektor ini tinggal di Hulu Kelang hingga melimpah ke Wangsa Maju.

Ini disokong dengan hakikat bahawa Wangsa Maju memiliki rangkaian pengangkutan awam yang efisen, khususnya Aliran Transit Ringan (LRT). Ia memberi kemudahan alternatif kepada warga Wangsa Maju bergerak ke tempat kerja atau melakukan urusan lain tanpa perlu berkenderaan sendiri.

Dengan pembinaan Rangkaian Transit Aliran Massa (MRT) 3 kelak, dijangka tahun hadapan, bakal melengkapkan sistem pengangkutan MRT di kawasan Wangsa Maju dan sekitarnya. Tentu semakin ramai memilih tinggal di Wangsa Maju, kadar kepadatan juga semakin meningkat.

Maju Wangsa secara rasmi ditubuhkan pada Februari 1984. Perasmian dilakukan oleh mantan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Wangsa Maju adalah singkatan nama ‘Bandar Baru Titiwangsa Maju’.

Sejak itu Wangsa Maju melalui perubahan pantas. Kawasan yang asalnya ladang getah Hawthornden di Setapak dari 1900-an hingga 1980-an, Wangsa Maju merupakan projek pembangunan bandar baharu secara usaha sama yang pertama. Projek diusaha dan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Paremba Berhad.

BERITA BERKAITAN PRU-15: Calon Parlimen Titiwangsa tumpu isu Kampung Baru

Kini Wangsa Maju jauh berubah. Dari hanya ladang getah terpencil di luar ibu kota, kini ia bergerak menjadi kawasan metropolitan. Kerana dianggap kawasan terpinggir, ia tidak menarik minat ramai sewaktu permulaan dahulu. Tambahan kawasan Hulu Kelang juga sunyi tidak meriah seperti sekarang.

Waktu itu, orang ramai kurang memberi perhatian. Malah tidak ramai yang bersedia membeli rumah flet di ‘kawasan hutan’ pada hal harganya hanya dalam lingkungan RM25,000 sahaja.

Wangsa Maju tidak menoleh ke belakang. Pembangunan rancak menyaksikan banyak rumah, pejabat dan gedung perniagaan dibina. Ini menjadi daya penarik. Ramai menyukai kawasan ini bagi menikmati kehidupan di pinggir bandar raya.

Rumah flet yang dahulu berharga RM25,000 kini meningkat berganda-ganda. Yang tidak minat membeli dahulu kini menyesal.

Pelbagai kemudahan disediakan untuk penduduk, merangkumi ekonomi, kewangan, sosial, hiburan, sukan dan lain-lain. Rumah-rumah baharu atau kondominium terdapat di merata ceruk kawasan. Pusat beli belah dan pejabat juga memenuhi Wangsa Maju.

Wangsa Maju juga merupakan perintis bandar rendah karbon di Kuala Lumpur. Inisiatif DBKL ini bakal mewujudkan persekitaran lebih segar dan bersih agar penduduk Wangsa Maju menghirup udara lebih segar.

Beberapa dapatan lain Ketua Perangkawan berhubung kependudukan di negara ini juga wajar dijadikan panduan bersama. Jika parlimen Wangsa Maju mencatat kepadatan penduduk tertinggi, parlimen Bangi pula mencatat jumlah penduduk tertinggi.

Menurut statistik Subnasional Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2023 Jabatan Perangkaan, jumlah penduduk Bangi ialah 691,900 orang. Sangat besar kawasan parlimen ini.

Dengan jumlah penduduk begitu ramai, apabila eksesais persempadanan semula kawasan pilihan raya diadakan nanti, kawasan parlimen Bangi wajar dipecah. Ini untuk membolehkan wakil rakyat memberi tumpuan dan perkhidmatan lebih baik dan berkesan.

Selepas Bangi ialah parlimen Kota Raja mempunyai penduduk berjumlah 526,400 orang, diikuti parlimen Subang seramai 481,100 orang. Kajian persempadanan semula juga wajar dilakukan di dua kawasan parlimen ini.

Ingin tahu di kawasan mana terdapat paling ramai penduduk muda di negara ini? Menurut Jabatan Perangkaan, tiga kawasan parlimen mencatatkan jumlah penduduk umur muda tertinggi ialah Putrajaya, Gua Musang dan Tumpat, masing-masing dengan jumlah 37.2 peratus, 35.8 peratus dan 33.5 peratus.Takrif muda ialah mereka yang dalam lingkungan umur 14 tahun dan ke bawah.

Tiga kawasan parlimen di Selangor pula dicatat mempunyai penduduk tua tertinggi iaitu 65 tahun ke atas. Kawasan parlimen berkenaan ialah Sabak Bernam (22.4 peratus), Sungai Besar (19.7 peratus) dan Tanjung Karang 18.3 peratus. Barangkali tiga kawasan ini sesuai untuk mereka yang ingin menjalani kehidupan selepas persaraan.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram