“RAKYAT nak adalah sekarang, bukan 15 tahun akan datang kerana mereka hadapi kesukaran sekarang.”
Itu kata Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi membangkitkan isu mengenai pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Ketika membahaskan usul Belanjawan 2023, Ahli Parlimen Bera itu berkata, langkah kerajaan untuk menambah caruman ke dalam Akaun 1 sebanyak RM500 adalah tindakan terpuji.
Bagaimanapun, beliau menyatakan rakyat mahu supaya pengeluaran KWSP secara bersasar itu diluluskan kerana menghadapi kesukaran sekarang.
“Kalau penyimpan umur 40, 15 tahun akan datang baru boleh keluar RM500 itu. Baguslah, murni apa kerajaan nak buat.
“(Tetapi) rumah dilelong sekarang, anak nak masuk universiti sekarang, mereka nak diisytihar muflis sekarang. Kalau tunggu 15 tahun, rumah dah kena lelong, muflis dah,” katanya.
Baca artikel berkaitan: ‘Pencarum tak mohon peruntukan RM1 bilion, hanya mahu KWSP dikeluarkan’ – Muhyiddin
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau memahami tindakan kerajaan tetapi berharap isu berhubung pengeluaran KWSP secara bersasar itu tidak ditutup terus.
Beliau turut berharap supaya perbincangan diteruskan dan ruang diberikan bagi golongan memerlukan meneruskan kehidupan mereka.
“Bukan kita tak faham, kita faham tetapi seperti saya kata, rakan-rakan kata, secara bersasar dan syarat ditentukan.
“Kalau tak ramai yang terjejas. Di Johor, banjir besar akan sebabkan ramai yang memerlukan kewangan secara mendesak.
“Dahulu selepas COVID-19, keperluan mendesak, (ketika itu) kecemasan, kita bagi. Jadi saya harap kerajaan mempertimbangkan sekali lagi. Saya harap dalam jawapan penggulungan Menteri Kewangan ada berita baik untuk pencarum KWSP,” jelas beliau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2023 berkata kerajaan bersetuju menambah caruman simpanan KWSP Akaun 1 rakyat sebanyak RM500.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penambahan itu akan melibatkan ahli KWSP yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan kurang RM10,000 di dalam akaun 1 masing-masing.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram