
MAHKAMAH Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini mengarahkan pelakon Puteri Sarah dan suaminya Syamsul Yusof untuk merujuk kemelut rumah tangga mereka ke Jabatan Kuasa Pendamai (JKP).
Dalam prosiding pagi ini, Hakim Syarie Akmalludin Ilyas memutuskan pasangan itu untuk melantik wakil masing-masing dalam JKP.
Konflik rumah tangga antara Puteri Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, 38, dan Syamsul Syamsul atau nama penuhnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 39, masih belum bernoktah.
Sebelum ini, Puteri Sarah memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu dilaporkan berkata tuntutan cerai dibuat selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan perdamaian.
Dalam pada itu, permohonan cerai itu juga susulan enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam dan Summayah, masing-masing berusia lima dan tiga tahun.