SYARIKAT penerbangan tempatan telah melaksanakan inisiatif khas bagi menawarkan tiket penerbangan pada harga yang rendah sempena musim perayaan nanti.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu adalah rentetan daripada pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik termasuk laluan-laluan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah.
Jelas beliau, antara syarikat yang menyeru seruan Kerajaan MADANI untuk mendengar keluhan rakyat adalah AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL).
“AirAsia telah menyediakan 62 penerbangan tambahan (tambahan 11,400 tempat duduk) pada tambang rendah tetap dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke tujuh destinasi, iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau di Sabah, serta Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri di Sarawak dari 19 hingga 21 April 2023 dan 28 hingga 30 April 2023 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.
“Ini disediakan pada harga tambang tetap untuk penerbangan daripada Semenanjung ke Sarawak pada harga RM199 dan daripada Semenanjung ke Sabah pada harga RM249.
“Saya difahamkan selepas dua hari dilancarkan, sudah lebih 3,000 tiket telahpun dijual.
“Laluan-laluan yang amat popular terutamanya di antara Kuala Lumpur ke Tawau dan Kuala Lumpur ke Sandakan telahpun hampir habis dijual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pemberitahuan pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di Parlimen hari ini.
Baca lagi: Harga tambang penerbangan, skim pencen warga emas tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Sementara itu, Anthony turut mengulas mengenai masalah kekerapan penerbangan yang ditanya ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat sebelum ini.
Jelas Anthony, Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 5 Januari lalu telah mengingatkan semua syarikat penerbangan untuk memperkukuhkan pengurusan pengendalian penundaan dan pembatalan penerbangan.
Jelas beliau, langkah itu bertujuan untuk menambahbaik komunikasi kepada penumpang serta menyediakan penjagaan dan keperluan seperti yang digariskan di dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (Malaysian Aviation Consumer Protection Code 2016, MACPC).
Katanya, sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi MACPC, MAVCOM boleh mengenakan penalti kewangan sebanyak amaun yang tidak melebihi RM200,000, dan ketidakpatuhan kedua atau berikutnya, amaun sepuluh kali daripada penalti kewangan yang dikenakan bagi ketidakpatuhan yang pertama.
“Dari 2018 sehingga Januari 2023, MAVCOM telah mengenakan penalti sebanyak RM4.72 juta ke atas kegagalan syarikat penerbangan dalam mematuhi pelbagai kesalahan di bawah MACPC.
“Syarikat penerbangan yang membatalkan penerbangan atas faktor di bawah kawalan syarikat penerbangan seperti teknikal atau kapasiti penumpang yang tidak memuaskan menyebabkan penerbangan tersebut dilewatkan atau dibatalkan adalah tertakluk untuk menawarkan pembayaran ganti dalam masa 30 hari atau perubahan laluan sepertimana yang diperuntukkan di dalam MACPC,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

