PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serius, berazam dan komited untuk menghapuskan rasuah dan menyediakan tadbir urus yang baik untuk Malaysia dan langkah tersebut harus disokong oleh rakyat, kata Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysi (SPR) itu berkata, ketika ini, negara memerlukan kestabilan politik untuk mendapatkan kembali keyakinan pelabur bagi meningkatkan ekonomi.
“Kerajaan Perpaduan adalah jawapannya. Dari satu segi, ia adalah replika pentadbiran Barisan Nasional (BN) (dimulakan oleh Tun Razak pada 1975) yang telah memerintah Malaysia selama lebih dari 50 tahun, sehingga 2018 apabila ditolak oleh rakyat ekoran penyelewengan kuasa. Mereka belajar daripada kesilapan dan mari berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, walaupun UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tetapi dengan kehendak Allah, parti itu diperlukan bagi menubuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Anwar yang lebih 20 tahun menunggu untuk menjadi Perdana Menteri kerana dihalang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Wan Ahmad seterusnya berkata, penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah sangat sesuai untuk Malaysia yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan semangat itu dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan negara.
“Kami berdoa dan berharap perjumpaan politik PH dan UMNO/BN semasa akan berkekalan sehingga PRU (2026) akan datang dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Saya yakin, gabungan politik besar baharu BN-PH akan muncul menjelang PRU16,” katanya.
Beliau berkata, di bawah UMNO dan Raja-Raja Melayu, kepentingan bangsa dan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan akan kekal terjamin.
“Malaysia memerlukan kerajaan yang menyatukan rakyat dipimpin oleh pemimpin berkebolehan untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran untuk beberapa tahun lagi dan ekstremisme politik dan agama tidak sesuai untuk negara ini,” tambahnya. – UTUSANTV