

‘RUMAH KUNING’ yang indah bercirikan seni bina Melayu masih megah berdiri di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan, Perak. Walaupun dianggar dibina dalam tahun 1940-an, rumah papan itu masih kukuh bagai tidak dimakan usia.
Rumah Kuning ialah lambang kasih seorang sultan terhadap isterinya. Sultan yang dimaksudkan ialah Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil, Sultan Perak ke-32. Isteri yang dimaksudkan ialah Allahyarham Noorizan Mohd Noor.

Sutan Yussuff, yang diputerakan pada 15 Januari 1890, menaiki takhta negeri Perak pada 31 Mac 1948 selepas kemangkatan ayahnda saudara baginda, Almarhum Sultan Abdul Aziz ibni Almarhum Raja Muda Musa, Sultan Perak ke-31.
Barangkali jika disebut nama Noorizan, tidak ramai kenal. Namun jika disebut seniwati Noorizan yang pernah menjadi isteri kepada Seniman Agung P Ramlee setelah bercerai dengan Sultan Yussuff, tentu ramai kenal. Semasa hayatnya, Noorizan membintangi banyak filem dan drama TV.
Noorizan ialah anak negeri Perak, diahirkan pada tahun 1927. Beliau berkahwin dengan Sultan Yussuff pada tahun 1954 pada usia 27 tahun. Pada tahun 1955, beliau diberi gelaran Yang Teramat Mulia Permaisuri oleh baginda.
Rumah Kuning adalah kediaman di Teluk Anson (nama lama Teluk Intan) yang dihadiahkan oleh Sultan Yussuff kepada Noorizan sebagai tanda ingatan perkahwinan mereka. Bagi mereka yang lalu lalang di Jalan Syed Abu Bakar, tentu akan terpandang Rumah Kuning ini.

Namun bagi yang tidak tahu sejarah akan menganggap rumah ini rumah biasa yang sudah lama wujud, tanpa mengetahui ia pernah menjadi milik insan istimewa, isteri seorang sultan.
Bagaimana pun usia perkahwinan Sultan Yussuff dengan Noorizan tidak lama apabila Noorizan jatuh cinta dengan P Ramlee, seorang pelakon sedang meningkat naik ketika itu. Kisah cinta ini dianggap menggemparkan kerana Noorizan ialah isteri seorang sultan.
Semua berlaku pada tahun 1955 apabila P Ramlee membuat persembahan di Perak atas titah perintah baginda sultan sendiri. Namun Almarhum Tuanku berpesan kepada Permaisuri Noorizan agar tidak memandang kepada mata P Ramlee. Titah baginda, jika memandang mata P Ramlee, seseorang wanita boleh jatuh cinta kepadanya.
Benar sekali titah pesanan tuanku. Permaisuri Noorizan terkena panahan mata seniman itu lalu jatuh cinta. Hubungan cinta mereka dipisahkan oleh tembuk istana, hanya telefon menjadi penyambung.

Almarhum Sultan Yussuff akhirnya tahu hubungan ini apabila baginda mendapati bil telefon istana naik melambung melebihi biasa. Baginda akhirnya mengambil keputusan menceraikan Noorizan.
Noorizan berkahwin dengan P Ramlee pada tahun itu juga (1955). P Ramlee muda dua tahun berbanding Noorizan. Ketika berkahwin Noorizan berusia 28 tahun sementara P Ramlee 26 tahun.
Setelah bercerai dengan Sultan Yussuff, Noorizan keluar dari istana, meninggalkan kemewahan yang dinikmati selama ini untuk mengharungi hidup bersama P Ramlee. Sejak itu juga Rumah Kuning di Teluk Anson ditinggalkan. Allahyarham tidak pernah kembali ke rumah itu sehingga akhir hayat.
Selepas berkahwin, P Ramlee dan Noorizan tinggal di Singapura. Rumah tangga yang dibina pada awalnya memang bahagia. Sayang sekali apabila nama P Ramlee semakin melonjak sebagai pelakon, dia lebih memberi tumpuan kepada kariernya.
Noorizan merasai P Ramlee semakin sibuk dengan kerjaya sehingga mengabaikannya. Akhirnya selepas enam tahun, rumah tangga mereka runtuh pada 1961, tanpa dikurniakan anak. Masing-masing membawa haluan sendiri.
BERITA BERKAITAN Tiga termasuk cucu P Ramlee terselamat daripada tali gantung
P Ramlee terus cemerlang dalam karier sebagai pelakon dan pengarah di Malay Film Productions, Singapura dan kemudian berkahwin dengan Saloma. Noorizan pula meninggalkan Pulau Temasik itu menuju ke Kuala Lumpur. Ditakdirkan P Ramlee pun akhirnya berpindah ke Studio Merdeka Hulu Kelang pada 1964.

P Ramlee pernah memilih Noorizan membintangi filem ‘Laksamana Do Re Mi’ keluaran Studio Merdeka Hulu Kelang tahun 1973. Noorizan memegang watak permaisuri. Ia berlaku selepas 12 tahun pasangan itu bercerai yang membuktikan hubungan mereka tetap baik.
Sultan Yussuff mangkat pada 4 Januari 1963 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada usia 72 tahun. Baginda menduduki takhta selama 15 tahun. Selain kenangan Rumah Kuning, sebentuk cincin biru yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia adalah satu lagi kenangan cinta baginda terhadap Noorizan.
P Ramlee, yang lahir pada 1929, meninggal dunia 10 tahun kemudian pada 29 Mei 1973 pada usia 44 tahun. Filem ‘Laksamana Do Re Mi’ adalah arahannya yang terakhir.
Noorizan pula menghembuskan nafas terakhir pada 15 Mei 1992 pukul 8 malam Jumaat dalam usia 65 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat darah tinggi.
Yang tinggal kini menjadi kenangan abadi cinta Sultan Yussuff kepada Norizan adalah Rumah Kuning dan cincin biru. Kenangan cinta daripada P Ramlee pula lagu ‘Tidurlah Permaisuri’ yang Allahyarham cipta khusus untuk Noorizan.
Rumah Kuning wajar diabadikan sebagai kenangan kasih Sultan Yussuff dan Noorizan. Rumah ini perlu terus dijaga dan dipulihara, tidak dirobohkan atau dijual. Kerajaan Perak atau Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya bertanggung jawab memastikan ia kekal sebagai warisan berharga.

Langkah terbaik yang boleh dilakukan ialah menjadikan Rumah Kuning sebagai muzium. Pamerkan sejarah dan barang peninggalan Sultan Yussuff, Norizan dan P Ramlee untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang. Berundinglah dengan waris pemilik rumah itu untuk membolehkan ia menjadi kenyataan.
Rumah Kuning pernah dijadikan lokasi penggambaran drama popukar terbitan RTM, ‘Anjang Aki’. Drama yang begitu popular tahun 1980-an itu membariskan pelakon Allahyarham Ismail Hutson, Dian P Ramlee dan Allahyarham Baharuddin Omar.
Untuk makluman, Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah ialah ayahnda kepada Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak ke-34 dan nenda kepada Sultan Perak sekarang, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak ke-35.
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram