PELAKON Kamal Adli berdepan insiden mencemaskan selepas diserang menggunakan cota hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala, muka dan beberapa bahagian di anggota badan lain sebaik sahaja selesai menyertai sebuah depo di Singapura, semalam.
Menurut isteri Kamal iaitu pelakon Uqasha Senrose memberitahu, suaminya diserang oleh individu warganegara Singapura berkali-kali menggunakan cota yang menghampiri secara tiba-tiba.
“Doakan suami saya Kamal, kami baru habis acara di Singapura tiba-tiba dia diserang orang Singapura dengan cota berkali-kali.
“Kepala, muka, bawah mata dan badan,” katanya.
Uqasha memberitahu berita itu menerusi Instagram miliknya sebentar tadi.
Malah, Uqasha turut dilihat menangis menerusi perkongsian video di Instagram.

Dalam pada itu, Uqasha turut memaklumkan Kamal kini sedang dirawat di hospital di Singapura dan perlu menjalani pembedahan susulan kecederaan parah yang dialami.
“Sekarang Kamal dekat hospital Singapura untuk menjalani pembedahan besar kerana lubang dan bocor, koyak di belakang kepala.
“Suami saya ditidurkan untuk pembedahan kerana koyak berlubang sangat dalam di kepala,” tulisnya.
Sementara itu, selebriti terkenal iaitu Roslan Shah yang turut berada di acara tersebut telah berkongsi keadaan Kamal yang menerima jahitan akibat kecederaan terbabit.
Malah Roslan juga memberitahu, penjenayah itu sudah pun ditahan pihak berkuasa.
“Doakan untuk Kamal Adli ya… Kepalanya kena jahit. Sebak Cik Lan (panggilan Roslan) tadi.
“Alhamdulillah penjenayah itu pun sudah kena tangkap,” katanya.

