Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan. GAMBAR: Abd Razak Aid

POLIS menahan enam anggotanya termasuk seorang inspektor selepas disyaki terlibat dalam kes peras ugut scammer warga China RM150,000.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, tangkapan itu adalah susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki tempatan.

Katanya, kesemua suspek dikatakan berusia 33 hingga 44 tahun yang ditahan kira-kira pukul 9.15 malam, Khamis lalu.

“Seorang berpangkat inspektor, sarjan, konstabel dan selebihnya adalah koperal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Menurut beliau, peras ugut itu dilakukan dalam satu serbuan kegiatan scammer yang terdiri daripada warga China.

“Jumlah peras ugut RM150,000 dilakukan menerusi beberapa transaksi seperti didakwa pengadu.

“Bagaimanapun katanya, hasil siasatan mendapati polis tidak menemui atau merampas sebarang barang kes iaitu wang tunai hasil daripada suspek-suspek itu,” katanya.

Tambahnya kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.