
POLIS berjaya menumpaskan geng samun menggunakan perkhidmatan e-hailing dengan tertangkapnya empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia pada 6 Mac lalu.
Kesemua disyaki duduk di negara ini secara tidak sah, aktif menyamun sejak November tahun lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, kesemua suspek ditahan dalan satu serbuan di sebuah rumah flat di Sungai Besi, enam jam selepas menyamun sebuah rumah di Sungai Long, Kajang.

“Tiga suspek lelaki telah memecah masuk ke dalam rumah pengadu ketika sedang tidur sebelum mengikat mangsa dan ahli keluarganya,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Tambahnya, mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM2,000 termasuk wang tunai mata wang asing, dua buah telefon bimbit dan beberapa barang kemas.
Menurut Hussien, suspek menyasar rumah yang senang untuk dipecah masuk seperti rumah tidak berpagar, kurang keselamatan atau tingkap senang diumpil.

“Kesemua suspek yang tinggal di Sungai Besi itu akan menggunakan perkhidmatan e-hailing atau meminta rakan untuk menghantar mereka ke rumah sasaran,” katanya.
Katanya, suspek yang berusia 29 hingga 49 tahun itu turut mengaku terlibat dalam satu kes samun rumah di Kajang, empat di Sepang dan satu lagi di Seremban melibatkan kerugian kira-kira RM50,000.
“Polis turut merampas pisau panjang, kerambit, pakaian, sarung tangan, dan sarung kepala yang digunakan ketika merompak rumah mangsa,” ujarnya.
Kesemuanya kini direman tujuh hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.