Mungkin anda pernah mendengar dua perkataan ini, Anoreksia dan Bulimia. Namun penjelasan mengenainya sering mengelirukan kerana kedua-dua masalah kesihatan ini hampir serupa.
Individu yang mengalami gejala anoreksia dan bulimia taksub untuk kurus. Namun kaedah mereka mencapai objektif untuk kurus adalah berbeza dan tidak sihat. Kemuncak kepada dua-dua masalah kesihatan ini apabila ia mencapai tahap ketaksuban melampau sehingga boleh mengakibatkan kematian.
Apa Itu Anoreksia?
Anoreksia adalah satu masalah pemakanan dan suatu petanda kecelaruan psikologi. Seseorang itu dikatakan menghidap anoreksia apabila berat badannya 15 peratus kurang daripada berat badan ideal.
Dan pesakit berterusan kehilangan berat badan dan mengalami kekurangan zat makanan sehingga akhirnya kelihatan kulit dan tulang sahaja.
Punca masalah kesihatan ini belum dikenal-pasti lagi secara tepat. Tetapi aspek-aspek jati diri dan imej tubuh, tekanan masyarakat dan faktor genetic memainkan peranan dalam mencetus masalah kesihatan ini.
Kebanyakan pengidap anoreksia mempunyai tanggapan negatif terhadap imej mereka. Dan mereka menjadi taksub dengan usaha untuk mengubah tanggapan tersebut sekalipun telah mencapai berat badan ideal.
Anoreksia sering dialami golongan wanita dewasa. Hari ini semakin ramai golongan kanak-kanak dan remaja berusia antara 12 hingga 18 tahun menderita anoreksia kerana ingin kurus seperti idola mereka yang biasanya kalangan artis. Mereka begitu taksub mengawal diet sehingga mengganggu penghasilan hormon seterusnya, menjejaskan proses tumbesaran fizikal dan perkembangan otak mereka.
Pengidap anoreksia biasanya mempunyai sikap kompulsif, mungkin juga ada nafsu makan yang kuat. Mereka juga menunjukkan sikap biasa dialami ketagihan-ketagihan lain bagi mengawal nafsu makan dan berat badan. Ini dilakukan dengan memuntahkan makanan secara paksa seperti memasukkan jari ke dalam mulut atau bantuan laksatif.
Sikap keterlaluan anoreksia dalam mengatasi masalah tersebut boleh menimbulkan lain-lain masalah kesihatan termasuk gangguan rentak degupan jantung, system penghadaman, kehilangan kepadatan tulang, anaemia, ketidak-seimbangan hormon dan elektrolid.
Sekalipun penghidap anoreksia menafikan simptom-simptom dialami mereka, sokongan keluarga adalah penting dalam berkongsi maklumat sikap si pengidap untuk tujuan diagnosis dan rawatan susulan bagi masalah gangguan pemakanan ini.
Rawatan anoreksia bukan sahaja bertumpu pada penambahan berat badan. Ia sering kali melibatkan sesi psikoterapi gabungan individu, kumpulan dan keluarga selain kaunseling mengenai khasiat pemakanan. Namun terapi keluarga secara aktif boleh membantu individu anoreksia menambah berat badan dan ia dianggap kaedah paling berkesan.
Bagi mengelak kemungkinan kembali pada tabiat lama, rawatan anoreksia bersifat jangka masa panjang.
Kesan anoreksia dikalangan kanak-kanak dan remaja menunjukkan perkembangan dan pertumbuhan fizikal yang perlahan dari segi ketinggian atau fungsi-fungsi badan yang lain.

Simptom-Simptom Anoreksia
• Individu kehilangan berat badan yang drastik sehingga mengakibatkan kemurungan dan bersifat anti-sosial
• Mudah marah dan sedih serta menghadapi kesukaran berinteraksi dengan orang lain
• Tidur sering terganggu sehingga berasa lesu pada siang hari
• Sukar memberi tumpuan dan perhatian terhadap sebarang tugas
• Kebanyakan taksub dengan makanan dan fikiran mengenai makanan. Mereka juga menunjukkan sikap keterlaluan terhadap perkara berkaitan makanan, berat badan atau bentuk badan. Contoh, bersenam berlebihan supaya cepat kurus.
• Masalah-masalah lain termasuk gangguan emosi dan personaliti serta sering risau.