Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya

GERAKAN Tanah Air (GTA) tidak melakukan sebarang perbincangan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) seperti dilaporkan oleh pihak media.

Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya berkata, pertemuan tertutup Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hanya membincangkan kedudukan serta nasib orang Melayu di negara ini.

“Kita tidak pernah berbincang (penyertaan) dan tidak ada perbincangan. Masalah kita yang paling utama adalah kuasa Melayu dan nasib orang Melayu. Melihat keadaan sekarang, kerajaan hari ini bukan lagi kerajaan yang didominasikan oleh orang Melayu.

“Walaupun ada laporan menyatakan terdapat perjumpaan antara Abdul Hadi dengan GTA, itu betul. Tiada isu (kerana) perjumpaan itu memang berlaku dan saya juga terlibat dalam perjumpaan itu.

“Tetapi apa yang kita bincang (adalah) masalah yang sama, bukan masalah parti. Perbincangan melibatkan kedudukan Melayu dalam negara yang menjadi kekhuatiran kita,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Baca artikel lain: Kedah harap Kerajaan Persekutuan beri pertimbangan projek KXP

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita yang memetik sumber dalaman GTA mendakwa gabungan itu sudah bersedia untuk menyertai PN bagi membentuk gabungan Melayu terbesar di negara ini.

Dalam pada itu Marzuki menjelaskan, GTA terbuka untuk bersama dengan mana-mana pihak yang lantang memperjuangkan nasib Melayu ekoran pegangan itu menjadi sumber perjuangan gabungan berkenaan.

“Kita kena faham, GTA ditubuhkan dengan satu matlamat iaitu untuk membentuk Melayu yang berwibawa, politik Melayu yang bersih, cekap dan amanah. Tetapi hari ini kita melihat apa yang berlaku dalam PN mahu tidak mahu, unsur rasuah sudah menular dalam PN.

“Di situ yang akan menjadi ‘vacum’ untuk kita, tetapi apa yang kita usahakan hari ini adalah untuk lebih menyatukan orang Melayu menerusi konteks politik,” ujarnya.

Sementara itu mengenai pendaftaran GTA dalam Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), bekas Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu meluahkan kekecewaan ekoran masih belum mendapat sebarang jawapan daripada pertubuhan itu sama ada permohonan diluluskan atau sebaliknya.

“GTA belum diluluskan (RoS) dan saya agak kecewa sebab kita sudah ‘full fill’ apa yang diminta RoS selepas pengunduran Pejuang (daripada GTA). Kita juga sudah ikut kehendak RoS dan ‘restructure’ semula, tetapi sampai sekarang hampir sebulan, belum ada sebarang respons daripada RoS.

“Apabila saya lihat yang berlaku dalam UMNO baru-baru ini, bila menteri campur tangan kemungkinan besar memberi kesan kurang positif tentang pendaftaran kita,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram