Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mengakui Wanita UMNO hanya ketinggalan dari soal jawatan, namun bukan isu perjuangan. Jika diselusuri sejarah, telah banyak kejayaan yang dibawa Wanita UMNO dalam memperjuangkan hak dan kesamarataan golongan wanita antaranya soal gaji dan pakaian menutup aurat bagi petugas beruniform.
“Wanita hanya ketinggalan dari segi soal jawatan, bukannya perjuangan. Banyak agenda dan dasar polisi negara telah diperjuangkan oleh Wanita UMNO antaranya ketaksamarataan gaji antara lelaki dan wanita. Dahulu wanita mendapat gaji yang rendah berbanding lelaki dan Wanita UMNO perjuangkan untuk hak gaji samarata.
“Malah jika dahulu majoriti petugas wanita berpakaian seragam memakai skirt pendek, namun diperjuangkan agar mereka ini diberi seragam yang menutup aurat. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa juga adalah hasil daripada perjuangan UMNO.
“Jika dikaji sejarah, sebenarnya banyak lagi perjuangan UMNO yang memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya. Pada pendapat saya, mungkin UMNO selepas ini dapat menubuhkan arkib yang mengumpulkan semula perjuangan agar masyarakat tahu dan dapat menilai sendiri,” katanya dalam siri wacana bersama Datuk Razlan Rafii dan Datuk Fathul Bari Mat Jahaya.

Tidak hanya menjadi pemimpin yang memberi fokus kepada isu wanita, jelas Shahaniza, kata-kata arwah Tan Sri Aishah Ghani ‘untuk seseorang wanita itu naik dalam politik, dia mesti diterima oleh lelaki’ memberi impak yang cukup besar dalam dirinya.
Ulas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul itu, pemimpin wanita harus meneruskan agenda nasional dan cakna kepada setiap peringkat golongan, bukan memberi fokus kepada isu gender semata-mata.
“Bila golongan wanita diangkat menjadi pemimpin, kita bukannya menjadi pemimpin kepada wanita sahaja. Bukan hanya memperjuangkan hak wanita namun harus cakna kepada semua isu dan hal-hal yang berkaitan dengan lelaki.
“Janganlah bila diangkat menjadi pemimpin, perjuangan hanya berkisar soal wanita sahaja. Untuk menerima kepercayaan dan penghormatan kaum lelaki, kita haruslah melaksanakan dan meneruskan agenda nasional yang dijalankan mereka.
“Sebab itu apabila seseorang menjadi calon wakil rakyat, dia mesti diterima oleh rakyat yang terdiri daripada pebagai latar belakang. Pengundi bukanlah golongan wanita sahaja kan? Itulah bagi saya maksud yang pernah dikatakan oleh Tan Sri Aishah Ghani,” tambahnya.