
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyembah maklum soal pembangunan negara dan negeri Kedah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri yang melakukan kunjungan singkat ke Kedah, malam semalam turut menjunjung kasih atas perkenan Sultan Kedah menerima menghadap di Istana Anak Bukit.
“Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman atas perkenan menerima patik menghadap malam tadi di Istana Anak Bukit.
“Dalam sesi menghadap tersebut, saya menyembah maklum soal pembangunan negara dan negeri Kedah kepada Duli Tuanku,” katanya dalam hantaran tersebut.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan tidak menyatakan secara terperinci isu pembangunan negara dan Kedah yang disembah maklum kepada Sultan Sallehuddin.
Anwar turut memaklumkan beliau telah berkesempatan menziarahi makam Sultan-Sultan Kedah sebelum ini serta pusara bekas Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Makam Diraja Langgar.
Ahad lalu, Sultan Sallehuddin menitahkan Kerajaan Persekutuan menyokong dan memberi pertimbangan wajar kepada cadangan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Baca artikel berkaitan: Anwar Ibrahim menghadap Sultan Kedah
Titah baginda, sokongan bagi pelaksanaan pembangunan projek KXP itu demi manfaat menyeluruh kepada negara khususnya untuk merancakkan pembangunan ekonomi Kedah dan wilayah utara tanah air.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini berkata, Kerajaan Negeri Kedah berharap Kerajaan Persekutuan memberikan pertimbangan untuk membenarkan pelaksanaan projek KXP.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri memohon agar Kementerian Pengangkutan meluluskan pembangunan projek itu bagi membolehkan proses pengambilan balik tanah dilakukan untuk pembinaan kompleks terminal lapangan terbang berkenaan.
Anwar melakukan lawatan singkat ke Alor Setar, malam semalam bagi sesi menghadap Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.
Ketibaan beliau bersama delegasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada 8 malam disambut oleh Ketua Polis negeri Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram