turun nabi Isa bunuh dajjal

Penghujung fasa masa keempat, adalah munculnya Imam Mahdi dan Nabi Allah Isa a.s. Kemunculannya untuk memerintah dunia dengan seadil mungkin dan menyelamatkan kita semua daripada segala bencana serta bala fitnah yang menyelubungi.

Apabila berbicara tentang turunnya nabi Isa a.s, pelbagai persoalan yang bermain di minda kita semua. Bilakah akan turunnya nabi Isa? Di mana ia turun? Berapa tahun Baginda akan berada di bumi? Dan kenapa Baginda yang diturunkan?

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadawi menjelaskan kemunculan semula nabi Isa a.s di bumi sebelum kiamat perlu diyakini oleh kita semua meskipun banyak takwilan dari beberapa pihak lain yang berhujah dangkal menolak kehadiran nabi Allah itu.

Bukti kemunculan nabi Isa a.s. boleh dilihat menerusi firman Allah surah an-Nisa’: 159,

“Tidak ada seorang pun dari Ahli Kitab, kecuali akan beriman kepadanya (Isa) sebelum kematiannya. Dan di hari kiamat nanti Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka.”

Selama 40 tahun dajjal bermaharajalela dengan segala kesengsaraan dan fitnah yang melata, umat Islam amat menderita melaluinya. Bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, mereka terselamat dari fitnah dahsyat itu, tetapi bagi mereka yang rapuh imannya serta goyah akidahnya, pasti terjerat dalam penipuan dajjal yang tujuannya tidak lain tidak bukan, menyesatkan umat Islam agar dapat bersamanya di neraka kelak.

Tiba satu waktu, di subuh yang hening. Ketika itu bersiap sedia imam Mahdi untuk memimpin solat jemaah, tiba-tiba turunnya pembela umat Islam yang Allah hantarkan khas kepada kita semua, yakni nabi Isa a.s. Menerusi sabda Rasulullah s.a.w.

“Ketika al-Mahdi dan umat Islam yang turut berada di Baitulmaqdis mahu mengerjakan sembahyang subuh, tiba-tiba Isa bin Maryam turun. Maka al-Mahdi mundur ke belakang agar Nabi Isa ke hadapan untuk menjadi imam (sembahyang subuh mereka). Lantas Nabi Isa meletakkan kedua-dua belah tangannya ke atas kedua-dua belah bahu al-Mahdi sambil berkata, “Silakan maju ke hadapan dan jadi imamlah. Sesungguhnya (sembahyang subuh) ini diiqamatkan untukmu.” Maka al-Mahdi menjadi imam bagi para mukmin dan Nabi Isa a.s.” (HR Ibnu Majah dan Abu Nuaim).

Turunnya nabi Allah Isa a.s. itu bukan sebagai simbolik atau sebagainya, tetapi turunnya dengan membawa misi yang jelas bagi menyelamatkan umat Islam. Pada saat itu juga, makhluk jahat bernama dajjal akan dibunuh olehnya sebagaimana hujah-hujah yang banyak disampaikan menerusi sabda nabi Muhammad s.a.w. yang satu-satunya makhluk yang dapat membunuh dajjal adalah nabi Isa.

Sabda Nabi s.a.w.

“… Kemudian semasa tentara Islam sedang mempersiapkan perang dan mengatur barisan, dan pada masa itu sembahyang akan didirikan, Isa bin Maryam turun, lalu mendatangi tentara Islam ini. Ketika itu, apabila musuh-musuh Islam melihat Isa bin Maryam, maka mereka pun (hancur) luluh seperti luluhnya garam di dalam air.

Seandainya Isa bin Maryam tidak mendatangi (untuk membunuh) mereka, musuh-musuh Islam itu telah pun (sedia) luluh, sehingga dapat dikalahkan dengan mudah saja. Akan tetapi Allah (memang telah menetapkan bahwa Dia) bermaksud mahu membunuh Dajjal itu melalui tangan Nabi Isa. Kemudian Nabi Isa memperlihatkan darah Dajjal yang mengalir di hujung tombaknya (kepada umat Islam itu).” (HR Muslim).

Jelas Dr. Irwan lagi, berdasarkan kepada beberapa riwayat sahih, nabi Isa a.s akan turun di Menara Putih yang terletak di Damascus. Baginda bagaimanapun akan mengejar dan membunuh dajjal di Pintu Lud, satu bandar di Baitulmaqdis, Palestin.

Setelah membunuh dajjal, tugas nabi Isa tidak akan berakhir begitu sahaja. Terdapat beberapa tanggungjawab lain yang perlu diselesaikannya bagi memastikan kesejahteraan umat Islam. Wallahu a’lam

____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’