Bagi pelakon dan pengacara jelita, Uyaina Arshad, 31, tidak ada jaminan andai si suami sudah mula angkat tangan dan memukul si isteri. Malah tabiat memukul isteri ini ulasnya sukar diubah dan hanya menyukarkan keadaan rumahtangga jika diteruskan.

Jelas Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, andai suami mula memukul, dia sebagai isteri tidak akan teragak-agak untuk terus keluar daripada perkahwinan. Tiada peluang kedua diberikan kerana ia akan menjadi habit buruk andai terus dibiarkan.

“Bagi saya, sekali si suami sudah mula angkat tangan, it is a goodbye for me. Sebab perkara ini akan menjadi habit dan sekali dia sudah mula memukul, apa jaminan kita tidak akan dipukul lagi?” katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen jenama Ariani, Layar Raya 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kecewa akan situasi yang menimpa segelintir kaum isteri, katanya seorang suami harus bertindak sebagai pelindung kepada isteri dan anak-anak.

“Sebagai seorang suami dan ketua keluarga, kamu yang patut melindungi isteri. Tetapi kenapa kamu pula yang memukul dan menghentam isteri sendiri?

“Saya sangat-sangat marah apabila terbaca kes sebegini. Kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga, saya berharap mereka mengambil tindakan berdasarkan undang-undang untuk melindungi diri.

“Fikir juga untuk diri sendiri. Kadang kala mereka kata mahu bertahan demi anak-anak, tetapi anak-anak akan membesar melihat keganasan dan ini bukanlah perkara normal dan sihat untuk persekitaran mereka. Jadi buat keputusan yang terbaik untuk diri sendiri.

“Kalau disakiti, sekali mungkin boleh dimaafkan, tetapi jika berkali-kali, tepuk dada tanya selera,” ulasnya.