Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong GAMBAR FAIL: BERNAMA

AHLI pernigaan, Deepak Jaikishan perlu membuat laporan polis untuk membersihkan namanya berhubung isu panggilan berbaur ugutan.

Itu saranan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut mempertahankan dakwaannya menerima panggilan berbaur ugutan daripada individu yang mengakui Deepak semalam.

Ka Siong berkata, beliau turut memiliki rekod berhubung panggilan berdurasi tujuh minit untuk diserahkan kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan.

“Sekiranya Deepak Jaikishan merasakan ada orang yang menyamar beliau, atas nama Deepak membuat panggilan kepada saya pada 13 Mac 2023 jam 9.51 pagi, saya menyeru agar Deepak Jaikishan membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

“Saya bersedia bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan mendedahkan segala bukti yang ada.

“Biarlah PDRM menyiasat perkara ini termasuk mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta syarikat telco (telekomunikasi) untuk mencari identiti Deepak dengan nombor telefon bimbit 019-9999 989,” jelas Ka Siong memetik laporan Astro Awani.

Baca lagi: Saya sedih makanan mangsa banjir kurang kualiti, lambat sampai – Wee Ka Siong

Mengulas lanjut, Ka Siong turut mendedahkan, beliau sebetulnya menerima dua panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Deepak.

“Pada jam 9.51 pagi saya terima panggilan selama 33 saat sebelum terputus, kemudian disusuli pada jam 9.52 pagi dengan perbualan selama tujuh minit.

“Saya ada lakukan screen shot (tangkap layar) telefon bimbit saya dengan sela masa panggilan berjalan, dua panggilan saya terima,” ujar beliau.

Semalam, di Dewan Rakyat, Ka Siong, mendakwa beliau menerima ugutan berhubung kenyataannya membabitkan isu bekalan telur import.

Beliau memberitahu, menerima panggilan pada pukul 9.51 pagi Selasa, daripada individu memperkenalkan diri sebagai ‘Deepak’ dan mewakili syarikat J&E Advance Tech.

Katanya, lelaki itu turut mendakwa sudah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.

Deepak dalam reaksi balasnya menafikan mengeluarkan ugutan terhadap Ka Siong, berhubung isu bekalan telur import.

“Saya tidak pernah call ‘hubungi’ dia, nombor telefon dia (Ka Siong) pun saya tiada.

“Macam mana pula ada berhubung dengan dia, ini tidak benar,” kata Deepak seperti dilaporkan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram