Dua Lelaki warga United Kingdom, Andrew Mark Peters (berkerusi roda) dan Darren Anthony Mcnicholas (kiri) didakwa berhubung Op Tropicana di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

MAHKAMAH Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kepada dua lelaki warga United Kingdom (UK), selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan antarabangsa secara dalam talian.

Hakim Rozilah Salleh turut mengenakan denda RM180,000 atau penjara 22 bulan kepada Andrew Mark Peters, 55, manakala Darren Anthony Mcnicholas, 51, pula denda RM140,000 atau penjara 16 bulan.

Andrew didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai dalang sindiket penipuan antarabangsa, yang bersubahat mengarahkan Darren menerusi nama samaran ‘David Henshaw’ dan ‘Henry Paxton’, memperdaya seorang warga Scotland bahawa mangsa dijamin mendapat keuntungan yang tinggi, daripada satu pelaburan jangka masa singkat dengan membuat pembelian saham di dua buah syarikat yang tidak wujud.

Pertuduhan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama, yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Darren juga menghadapi dua pertuduhan iaitu memperdaya individu sama berhubung kesalahan serupa mengikut Seksyen 417.

Perbuatan kedua-dua tertuduh itu, mendorong mangsa untuk menyerahkan sejumlah US$5,672.41 dan 121,200 Euro ke dalam akaun dua buah bank milik sebuah syarikat, yang mana mangsa tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdaya.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit di sebuah bangunan di Petaling Jaya, pada 21 Mei hingga 27 Jun 2019.

Baca artikel berkaitan: Salah cetak al-Quran, pesalah bakal dikenakan penalti RM50,000 dan penjara 5 tahun

Terdahulu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman minimum, atas alasan ini kesalah pertama mereka dan tidak mempunyai rekod lampau di negara asal dan Malaysia serta memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dilakukan.

“Andrew mempunyai masalah kesihatan dan memerlukan bantuan perubatan. Beliau juga mempunyai masalah pergerakan dan perlukan bantuan kerusi roda. Darren pula mempunyai seorang isteri dan anak warga negara Malaysia. Hukuman itu akan menjejaskan keluarganya itu.

“Pengakuan bersalah oleh mereka telah menjimatkan masa dan kos mahkamah dan pendakwaan, selain itu mereka telah pun menyesal dan memohon maaf atas kesalahan tersebut,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry, memohon hukuman setimpal dikenakan kepada kedua-dua tertuduh mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan mereka.

Beliau berkata hukuman terlalu rendah akan memberi mesej kepada rakyat Malaysia bahawa mahkamah tidak mengambil berat kesalahan itu.

“Kena ambil kira kekerapan dan penularan kes penipuan itu bukan saja di Malaysia, tetapi serata dunia. Mengikut fakta kes, sindiket penipuan antarabangsa itu berpangkalan di Malaysia sejak 2015. Hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan,” katanya.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib.

Sebelum ini, lima warga British dan dua rakyat Filipina merupakan antara 10 individu yang ditahan SPRM dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, 21 Feb lalu berkaitan sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang turut melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.

Mereka ditahan dalam operasi dinamakan “Op Tropicana” diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, yang menyerbu 24 lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, termasuk tiga pusat panggilan sindiket iaitu dua yang terletak di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram