
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat meluangkan masa melawat Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Dalam hantaran di Facebook, Ismail Sabri memaklumkan, Alexander yang menjalani pembedahan lutut baru-baru ini sudah hampir sembuh sepenuhnya dan kelihatan ceria.
Ahli Parlimen Bera itu turut mengucapkan tahniah kepada doktor yang telah berjaya menyempurnakan pembedahan tersebut di samping menyampaikan penghargaan kepada jururawat yang telah menjaga Alexander dengan sempurna.
“Melawat Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di HKL yang menjalani pembedahan lutut.
“Pembedahan menggunakan robot yang dipantau oleh doktor sangat berjaya,” katanya dalam hantaran tersebut.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut mengimbau semula kenangannya bersama Alexander sejak mula menjadi ahli Parlimen pada tahun 2004.
Menurut beliau, Alexander merupakan Timbalan Menteri yang membantunya sewaktu menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar.
“Datuk Seri Alex merupakan sahabat saya sejak 2004 ketika kami sama-sama backbenchers Parlimen.
Baca artikel berkaitan: KWSP bersasar: Rakyat nak duit sekarang, bukan 15 tahun lagi, kata Ismail Sabri
“Semasa saya Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Alex adalah Timbalan Menteri saya.
“Sewaktu saya Perdana Menteri, beliau adalah anggota Kabinet saya,” katanya.
Isnin lalu, Alexander dalam hantaran di Facebook memaklumkan beliau telah mendapatkan rawatan dan menjalani pembedahan lutut di HKL akibat kecederaan yang telah dialami.
Ahli Parlimen Kapit itu juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua petugas kesihatan yang membantu dalam rawatannya sejak dimasukkan ke HKL minggu lalu.
“Dari hari pertama saya dimasukkan ke HKL, saya telah menerima layanan dan rawatan yang profesional daripada semua doktor, jururawat dan kakitangan HKL yang tidak pernah lelah memberikan khidmat mereka.
“Saya amat mengagumi dan menghargai dedikasi dan kerja keras yang diberikan oleh setiap kakitangan HKL demi memastikan setiap pesakit di sini menerima rawatan yang terbaik.
“Syabas saya ucapkan. Saya amat menghargai setiap bantuan yang diberikan. Sesungguhnya jasa baik semua tidak dapat saya balas,” ujarnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram