KHIDMAT Tan Sri Razarudin Husain sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang sepatutnya bersara Selasa lalu dilanjutkan bagi tempoh dua tahun lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh perkhidmatan Razarudin itu dilanjutkan berkuatkuasa hari ini sehingga 15 Mac 2025.
Menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan secara kontrak selepas bersara itu.
Saifuddin Nasution berkata, ia seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
“Razarudin berumur 60 tahun dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.
“Beliau memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai pegawai penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Asisten Superintendan di Muar, Johor.
“Beliau kemudiannya dilantik sebagai Asisten Superintendan Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada tahun 1997,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Razarudin dilantik Timbalan Ketua Polis Negara
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Razarudin seterusnya dilantik di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan jabatan sama di Kontinjen Johor.
Katanya, beliau kemudian meneruskan khidmat di JSJ Narkotik Kluang sebelum menyambung pelajaran di Maktab PDRM Cheras dan ditempatkan di JSJ Kota Setar serta dinaikkan pangkat ke Deputi Superintendan dengan memegang jawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan.
Kemudian, Razarudin turut dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat selama tiga tahun sebelum kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintenden.
“Razarudin yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Disember 2021 juga pernah menjawat pelbagai jawatan lain termasuk Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan Timbalan Ketua Polis Perak.
“Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak sebelum menjawat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada September 2020.
“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan ini,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram