PENYANYI rap sensasi, MK K-Clique, 27, bercadang untuk membawa keluarganya menunaikan ibadah umrah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan memberitahu hasratnya itu sudah lama disimpan dan merasakan tahun ini adalah masa yang sesuai untuk ke Tanah Suci.

“Sebenarnya saya sudah lama merancang kerana belum pernah sampai ke sana. Insya-Allah, saya ingin membawa keluarga untuk bersama menunaikan umrah.

“Mengikut perancangan, kami mahu ke sana selepas Syawal tetapi masih dalam perbincangan. Sejujurnya, saya tak mahu berkongsi mengenai perkara ini kerana tak mahu orang bercakap mengenainya.

“Niat untuk beribadah di sana, takut nanti jika ia diperkatakan, niat saya bakal disalahtafsir. Saya mohon doa yang baik-baik agar urusan dipermudahkan,” katanya kepada URTV.

MK berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi baju Melayu Armaan x MK di Panggung Asia, Gombak, baru-baru ini.

Sementara itu, MK mahu menperlahankan aktiviti seni sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

“Tahun ini saya mahu mengurangkan kerja seni dan mahu fokus beribadah. Ada tawaran untuk menjalani penggambaran, tapi masih dalam pertimbangan.

“Jika sesuai dengan jadual, saya akan terima tetapi saya memang meletakkan had untuk bekerja di bulan Ramadan sebab saya pun tak tahu kemampuan saya,” luahnya.

Mengulas mengenai pembabitannya dengan Armaan, MK akui selesa dengan kualiti baju Melayu yang disediakan oleh jenama berkenaan.

“Ada orang bertanya kenapa tak bekerjasama dengan jenama besar untuk menjual baju Melayu. Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan jenama besar tetapi tahun ini saya mencari kelainan.

“Kali ini, saya memilih jenama ini kerana percaya dengan kualiti mereka dan mahu berkongsi rezeki. 

“Jenama berasal dari Jitra, Kedah ini mempunyai keistimewaan sendiri dan mampu bersaing dengan jenama besar lain,” ujarnya.