Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM). GAMBAR: Abd Razak Aid

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memerhatikan lima bank utama di negara ini selepas dipercayai digunakan sindiket penipuan antarabangsa untuk melakukan transaksi pemindahan wang mangsa yang ditipu.

Pemerhatian itu dilakukan susulan siasatan SPRM atas kejayaan menumpaskan sindiket penipuan antarabangsa menerusi Operasi Tropicana (Op Tropicana), baru-baru ini.

Berita Harian difahamkan, sekurang-kurangnya 20 kakitangan bank terbabit termasuk juruaudit dan pegawai kaunter hadapan, dipercayai berperanan memudahkan sindiket membuka akaun.

Akaun-akaun ini kemudian digunakan oleh sindiket untuk mengutip wang tunai yang didepositkan oleh mangsa penipuan.

Siasatan SPRM mendapati kebanyakan mangsa setakat ini dikenal pasti sebagai warga Australia dan United Kingdom (UK).

Pegawai bank itu juga dilaporkan tidak mengambil tindakan terhadap sebarang laporan transaksi mencurigakan pada akaun bank berkenaan.

Baca artikel lain: Khidmat Razarudin sebagai Timbalan Ketua Polis Negara dilanjutkan

Peranan pekerja bank itu menyebabkan sindiket penipuan mampu mengaut keuntungan kira-kira RM200 juta hanya dalam tempoh tiga bulan.

Sebagai balasan, mereka akan menerima upah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap akaun bank yang berjaya dibuka untuk kegunaan sindiket.

Siasatan SPRM menunjukkan sindiket ini aktif di beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Hong Kong dan UK.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang mengaut RM200 juta daripada mangsa di Australia dan UK.

Menerusi Op Tropicana, sekurang-kurangnya 25 premis di Lembah Klang dan Pulau Pinang diserbu SPRM.

SPRM berkata, sindiket ini dipercayai merasuah beberapa agensi penguat kuasa bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar tanpa halangan sejak tahun 2019.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram