Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda tentang tujuan kedatangan nabi Isa a.s. ke dunia kelak,
“Demi Allah yang menggenggam jiwaku, tidak lama lagi Isa putera Maryam akan turun kepadamu sebagai hakim yang adil. Dia akan mematahkan salib, membunuh babi dan membatalkan ufti. Dan (waktu itu) harta melimpah ruah, sehingga tidak ada seorang pun yang mahu menerima (zakatnya), dan sehingga sekali sujud (nilainya) lebih baik daripada dunia seisinya.” (HR Bukhari)
Berdasarkan kepada misi yang disenaraikan oleh nabi Muhammad s.a.w. tentang nabi Isa a.s itu, menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadawi menjelaskan, dari situ kita dapat lihat hikmah penurunan nabi Isa a.s. ke bumi. Nabi Isa adalah satu-satunya nabi yang dianggap Tuhan oleh pengikutnya.
Baginda juga didakwa telah mati disalib oleh puak Yahudi. Walau bagaimanapun, dakwaan mereka dari Yahudi dan Nasrani itu sebenarnya tidak benar dan buktinya nabi Isa akan turun kembali dan jelas Baginda masih hidup sebagaimana firman Allah,
“Dan (Kami hukum juga) karena ucapan mereka “Sesungguhnya Kami telah membunuh Al Masih, Isa putera Maryam, Rasul Allah”, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh adalah) orang yang diserupakan dengan Isa. Sesungguhnya mereka yang berselisih pendapat tentang (pembunuhan) Isa, selalu dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu.
Mereka benar-benar tidak tahu siapa sebenarnya yang dibunuh itu, melainkan mengikuti persangkaan belaka, jadi mereka tidak yakin telah membunuhnya. Tetapi (sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa ke hadirat-Nya.
Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.Tidak ada seorangpun di antara Ahli Kitab yang tidak beriman kepadanya (Isa) menjelang kematiannya. Dan pada hari kiamat dia (Isa) akan menjadi saksi terhadap mereka.” (an-Nisa’ 157-159).
Mengapa nabi Isa a.s. mematahkan salib dan membunuh babi? Jawab Dr. Irwan, salib adalah tanda atau simbol bagi agama Kristian yang dianuti oleh mereka yang mendakwa nabi Isa adalah anak Tuhan mereka. Salib merupakan lambang keagungan mereka, dan pada salib juga ia melambangkan nabi Isa telah disalib oleh puak Yahudi terdahulu.
Turunnya nabi Isa a.s memusnahkan salib sebagai satu tanda bagi membuktikan segala kepercayaan orang Yahudi dan Kristian selama ini adalah tidak benar.
Agama yang dibawa oleh nabi Isa terdahulu adalah agama yang benar, bukanlah seperti yang ada pada hari ini. Kepercayaan karut dan mengarut itu akan dilenyapkan sendiri oleh nabi Isa a.s. bagi membersihkan dirinya dari segala fitnah yang melata. Begitu juga dengan tugasnya membunuh babi.
Dalam agama samawi, iaitu Yahudi, Kristian, dan Islam, hanya agama Kristian sahaja yang menghalalkan babi. Justeru, selaku insan yang paling berpengaruh dalam agama Kristian, penglibatan nabi Isa a.s. dalam membunuh babi adalah tepat kerana ia menjelaskan kepada penganut agama Kristian bahawa syariat Allah mengharamkan babi.
Ia sekaligus membuktikan agama yang mereka anuti (Kristian) selama ini adalah mengikut ajaran yang tidak benar dan sebenar-benar agama adalah Islam.
Tujuh tahun masa diambil oleh nabi Isa bagi memulihkan kembali keadaan umat Islam sebelum berlakunya hari pembalasan. Tempoh itu tidak dapat dibayangkan adakah akan berlalu seperti hari ini. Ia jelas disebut oleh Baginda nabi Muhammad s.a.w. menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,
“Lalu Allah mengutus Isa bin Maryam seperti Urwah bin Mas’ud, ia mencari Dajjal dan membunuhnya. Setelah itu selama tujuh tahun, manusia tinggal dan tidak ada permusuhan di antara dua orang pun. Kemudian Allah mengirim angin sejuk dari arah Syam lalu tidak tersisa seorang yang di hatinya ada kebaikan atau keimanan seberat biji sawi pun yang tersisa kecuali mencabut nyawanya.”
Namun begitu, ada juga riwayat menyatakan keberadaan Baginda nabi Isa a.s. di bumi sebelum kiamat selama 40 tahun. Dalam riwayat Abu Daud ada menukilkan bahawa nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda,
“Pada masa beliau, Allah akan membinasakan semua agama selain Islam, Isa akan membunuh Dajjal, dan beliau akan tinggal di muka bumi selama empat puluh tahun. Setelah itu ia meninggal dan kaum muslimin mensolatinya.”
Namun, mengenai perselisihan antara dua riwayat itu, ada ulama yang berpendapat mungkin 40 tahun itu adalah tempoh kehidupan nabi Isa a.s. di bumi sebelum di angkat ke langit dan diturunnya semula menjelang kiamat.
Sebelum ini, Baginda di angkat ke langit pada usia 33 tahun seperti kebanyakan riwayat menceritakannya. Justeru, 33 tahun sebelum ini ditambah dengan tujuh tahun setelah diturunkan semula sebelum hari kiamat, jumlah keseluruhan Baginda berada di bumi menjadi 40 tahun. Namun, bagi Dr. Irwan, sejauh mana betulnya pendapat itu, hanya Allah yang mengetahuinya. Wallahu a’lam
__________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’