Datuk Johari Abdul GAMBAR IHSAN: Jabatan Penerangan Malaysia

YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata tiada keperluan untuk menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang didesak membetulkan kenyataan dibuat di Parlimen berhubung isu pengimportan telur dari India.

Beliau berkata ini kerana setiap percakapan Ahli Parlimen ketika di dalam dewan adalah dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak payah siasat, tengok Perlembagaan. Ahli Parlimen apa juga yang dia bercakap asalkan tidak bercanggah dengan Akta Hasutan dan juga tidak menghina Raja-Raja, dia boleh cakap apa juga.

“Tidak ada mana-mana undang-undang yang boleh dikenakan terhadap Ahli Parlimen yang cakap dalam Parlimen. Kalau dia bercakap di luar Parlimen, lain cerita,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Baca artikel berkaitan: Deepak perlu buat laporan polis untuk bersihkan nama – Ka Siong

Johari diminta mengulas gesaan Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mahu beliau melakukan siasatan terhadap dakwaan Ka Siong.

Semalam, Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat beliau telah dihubungi seorang individu yang menuntut penarikan balik kenyataan dibuatnya di Parlimen mengenai pengimportan telur dari India.

Terdahulu, Johari melancarkan buku ‘Localizing SDGs & Local Issues (Ten Parliamentary Constituencies in Malaysia) terbitan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi menggalakkan usaha penumpuan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram