Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR IHSAN: Jabatan Penerangan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa tender bagi semua projek-projek besar perlu dianugerahkan kepada sesebuah syarikat berdasarkan kepada keupayaan dan rekod prestasi syarikat berkenaan semata-mata.

Beliau berkata, ini merupakan prinsip-prinsip yang menjadi panduan dalam menawarkan tender bagi projek-projek besar dalam negara.

“Dalam mesyuarat dengan jawatankuasa tender yang membuat keputusan berhubung projek-projek besar hari ini, saya beritahu mereka bahawa nama syarikat-syarikat berkenaan tidak seharusnya didedahkan.

“Namakan saja ia syarikat A, B, C. Kita menetapkan bahawa keputusan perlu dibuat berdasarkan kepada kebolehan, rekod prestasi dan keupayaan kewangan,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bersempena Ulang Tahun ke 50 Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) malam tadi.

Baca lagi: Bersatu buat laporan polis terhadap Anwar, Ahmad Zahid

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sekiranya ia melibatkan tender bagi projek-projek seperti Jana Wibawa, ia seharusnya diberikan kepada syarikat bumiputera menerusi proses pemilihan, namun proses itu juga perlu telus.

Anwar berkata, penganugerahan tender yang telus adalah penting bagi membanteras rasuah dalam negara yang dilabelnya sebagai “endemik”.

“Rasuah adalah endemik, sekiranya bukan sistematik dalam negara ini. Perlukan keberanian dan keazaman untuk berubah,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, isu yang membelenggu sektor perumahan dalam negara boleh diselesaikan dengan mengubah proses yang lapuk, memacu, dan memudahkan prosesnya.

Beliau berkata masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi peraturan-peraturan dalam negara serta kadar kepantasan kelulusan yang diperlukan (oleh pemaju).

“Kita telah berbincang dengan semua Menteri Besar, agar Majlis Perbandaran di negeri-negeri dapat membantu dan menyegerakan proses-prosesnya,” katanya.

Turut hadir majlis malam ini ialah Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram