PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih berhati-hati sebelum membuat pertuduhan jenayah khususnya rasuah dan penggubahan wang haram terhadap Pengerusi Parti Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, sebagai Perdana Menteri, Anwar perlu membuat penyelidikan sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan fitnah terhadap Muhyiddin.

“(Anwar) mestilah mendapatkan atau menyediakan fakta-fakta yang terperinci sebelum membuat apa-apa kenyataan dan kita sedia maklum apabila seorang perdana menteri buat kenyataan, kenyataan itu akan dihadam, akan dipertimbang oleh rakyat tentang kesahihan kenyataan itu.

“Fitnah dan tohmahan palsu terhadap pemimpin kami, Tan Sri Muhyiddin Yasin itu menyebabkan akaun parti BERSATU dibekukan dan akan menyebabkan kesusahan kepada pentadbiran parti.

“Tohmahan itu mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin melakukan penyelewengan semasa beliau menjadi perdana menteri, iaitu kononnya menyelewengkan wang kerajaan bernilai RM600 bilion, kemudian diturunkan kepada RM530 bilion, kemudian turun lagi kepada RM92.5bilion.. kemudian diturunkan kepada RM4.5 bilion dan akhirnya hanya RM300 juta,” katanya memetik laporan BH Online.

BERITA BERKAITAN Bersatu buat laporan polis terhadap Anwar, Ahmad Zahid

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

Laporan polis secara serentak oleh semua 22 Bahagian BERSATU di Selangor itu berkaitan fitnah dan penganiayaan terhadap Muhyiddin dan BERSATU.

Abdul Rashid mendakwa kerajaan mengguna atau menekan agensi seperti SPRM untuk melakukan penyiasatan dan pertuduhan terhadap Muhyiddin.

“Tak pernah berlaku dalam sejarah politik negara kita, seorang presiden parti dituduh di bawah AMLA, …salahkan dapat sumbangan daripada rakyat atau syarikat yang ingin membantu parti kami?

“Oleh kerana tiada pertuduhan tepat secara individu kepada Tan Sri Muhyiddin maka SPRM membuat pertuduhan di bawah AMLA yang tak pernah berlaku di negara kita ini,” katanya.

Justeru itu katanya, BERSATU Selangor berharap SPRM juga melakukan siasatan kepada presiden parti politik lain.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan SPRM untuk menentukan. Sepatutnya semua presiden parti politik lain perlu disiasat sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti kerana perkara ini mencemarkan imej Tan Sri Muhyiddin dan parti,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram