
SEORANG ahli perniagaan yang dikenali sebagai Datuk Roy direman sekali lagi, kali ini di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Ia bagi membantu siasatan satu kes lain yang juga membabitkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Perintah reman selama empat hari sehingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, pagi ini.
Lelaki berusia 54 tahun itu tiba di lobi mahkamah sekitar jam 9.30 pagi tadi, dengan memakai baju lokap berwarna jingga sambil diiringi anggota SPRM.
Suspek direman di bawah Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sebelum ini pada Selasa, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan SPRM untuk menahan reman ahli perniagaan itu hingga semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Perintah reman selama tiga hari itu adalah bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan Program Jana Wibawa.
Sehari sebelum itu, lelaki yang beralamat di Kuantan, Pahang itu ditahan selepas menyerah diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada jam 3 petang.
Datuk Roy kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM oleh Majistret Kuala Lumpur, Noorelynna Hanim Abd Halim pada pagi semalam selepas agensi itu tidak mengemukakan permohonan lanjutan reman.
Dia bagaimanapun ditahan semula oleh SPRM Putrajaya pada petang semalam bagi membantu siasatan kes lain.
Ahli perniagaan itu sebelum ini pernah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah.