BIARPUN diraikan secara sederhana, keikhlasan mengingati serta sikap prihatin yang ditunjukkan ternyata jauh lebih bermakna.

Mengingati anak yatim adalah amalan mulia dan di raikan pada Ramadan Al-Mubarak. Sesungguhnya mereka adalah insan kesepian hidup tanpa ibu atau bapa di sisi, pada saat anak-anak lain bergembira menyambut Syawal.

Sudah menjadi tradisi, anak-anak yatim menjadi golongan paling bertuah menjelang detik Syawal.

Saban petang majlis berbuka puasa dianjurkan pelbagai pihak bagi meraikan golongan miskin, anak yatim, warga tua dan orang kekurangan upaya (oku).

Bagi dunia selebriti, sudah menjadi tradisi artis meluangkan masa bersama mereka yang kurang bernasib baik, saban tahun.

Selain mengeratkan silaturahim antara artis dan anak-anak kurang bernasib baik, mereka juga boleh bersedekah dengan menghulurkan sumbangan sempena meraikan kedatangan Aidilfitri.

Tahun ini, penyanyi popular, Khai Bahar dipilih oleh pihak penganjur bagi meraikan dan menghiburkan anak-anak dari rumah kebajikan, Raudhatul Al-Faeez.

Bertempat di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang, Kuala Lumpur, majlis berbuka puasa bersama Khai Bahar dan anak-anak rumah kebajikan, Raudhatul AlFaeez akan diadakan pada Jumaat, 14 April depan.

Bersama slogan, sambil berhibur dan beramal, kumpul pahala, ada sebab Khai bekerjasama dengan penganjur, Xut Film Studio memilih Raudhatul Al-Faeez yang dihuni oleh anak asnaf, yatim piatu dan miskin, semuanya beragama Islam.

Sebelum ini, rumah kebajikan diasaskan oleh Zahrina Saat yang ditubuhkan pada 17 Julai 2010 itu bertempat di Gombak, Selangor, namun, malangnya, ditimpa musibah kebakaran.

Kini, penghuni Raudhatul Al-Faeez ditempatkan sementara di rumah teres Taman Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

Penganjur dan Pengurus projek Shahriz Taher berkata, majlis berbuka puasa bersama Khai Bahar bukan sahaja mahu meraikan anak-anak di kalangan
anak yatim piatu, asnaf dan miskin malah menggalakkan orang ramai mengambil
peluang meraikan mereka yang tidak bernasib baik agar setiap perkara yang kita lakukan mendatangkan kebaikan dan menjadi asbab untuk terus berbuat baik.

“Julung kali kami menganjurkan dan mahu berkongsi kegembiraan, apatah lagi, menjelang Aidilfitri. Dengan ini, kami mahu membuka peluang
orang ramai wakaf pahala dengan memberi sumbangan secara individu kepada rumah kebajikan ini.

“Program bermula jam 5.30 petang akan dimulakan dengan bacaan al-Quran, disusuli laungan azan oleh anak dari Raudhatul Al-Faeez.

“Selepas berbuka puasa tetamu akan dihiburkan dengan persembahan istimewa Khai Bahar selama satu jam.

“Majlis berbuka puasa ini dikendalikan pengacara sensasi, Roslan Shah,” katanya.

Sehubungan itu, jualan tiket dibuka secara individu atau meja. Harga – Platinum (RM478 ), Gold (RM408), Silver (RM378), Bronze (RM208).

Sebanyak 15 peratus hasil jualan tiket akan disalurkan ke tabung Raudhatul Al-Faeez.

Bagi pembeli tiket atau meja Platinum, makanan disajikan dalam bentuk berhidang. Manakala bagi kategori lain secara buffet.

Lebih 50 juadah disediakan pada majlis berbuka puasa bersama Khai Bahar.
Tiket boleh dibeli menerusi talian +601170270028 (24 jam).