Mata lelaki itu berkaca-kaca menahan perasaan. Tidak pernah terlintas di fikiran lelaki itu kampung halamannya akan jadi begini. Arghh… ini semua angkara kerajaan Siam! Mereka yang memusnahkan segala keamanan yang telah dikecapi selama ini.

Lelaki itu melihat keadaan sekeliling. Di hadapannya  bergelimpangan mayat-mayat yang sudah tidak sempurna jasadnya. Bukan seorang, bukan juga dua orang, tetapi berpuluh-puluh orang yang gugur. Jasad-jasad mereka bermandi darah. Ya, bumi Patani telah dibasahi dengan darah.

Paling menyedihkan apabila melihat sebujur jasad yang sangat dikenalinya terbungkam kaku di hadapan mata. Jasad itu adalah milik Datuk Pengkalan, individu yang sangat dihormatinya dan merupakan pemerintah tertinggi kerajaan Patani ketika itu.

Lelaki itu bersama isteri dan anaknya, serta saki baki pengikut lain yang terselamat menyelinap keluar untuk menyelamatkan diri dan mencari tempat perlindungan.

Sudah beberapa hari mereka belayar. Namun, lelaki itu masih belum menjumpai lokasi yang sesuai untuk berlabuh. Setakat ini, kawasan pesisir pantai yang dilalui tidak sesuai dijadikan penempatan kerana agak berisiko dan mudah diserang hendap oleh kumpulan lanun.

Keadaan mereka semakin lemah. Selepas beberapa hari melalui pertempuran dan mengharungi perjalanan yang panjang, mereka perlu segera mencari tempat berteduh. Tambahan pula bekalan makanan yang dibawa sudah hampir habis.

Di hujung pandangan, lelaki itu melihat sebuah muara sungai yang agak luas. Tanpa berlengah, mereka segera bergerak ke sana. Di sekitar muara sungai itu kawasannya agak lengang. Tiada sebarang tanda-tanda ia pernah diterokai. Di kiri kanan laluan, hanya terdapat pepohon nipah yang memenuhi tebing sungai.

Beberapa ekor kera dan monyet, kelihatan sedang melompat-lompat dari dahan ke dahan seperti mengalu-alukan kedatangan rombongan yang diketuai oleh lelaki itu.

“Lihat kera itu! Hujung ekornya kembang, seperti pucuk maman,” kata lelaki tersebut kepada ahli rombongannya.

“Aku rasa, mungkin ini tempat yang sesuai untuk kita beristirehat setelah jauh mengembara. Ayuh, kita mudik ke hulu,” cadang lelaki tersebut lantas disambut baik oleh pengikut-pengikutnya.

Mereka memudik kira-kira enam batu jauhnya. Sebaik tiba di sebuah kawasan tanah rata yang dipenuhi dengan belukar tebal, lelaki tersebut terus mengarahkan awak-awaknya untuk berlabuh. Mereka membersihkan hutan, dan di situ telah dibina sebuah penempatan baru yang diberi nama Kampung Nyior.

Di sini, lelaki tersebut memulakan kegiatan dakwahnya. Beliau menyebar fahaman agama Islam ke seluruh wilayah. Dari tahun ke tahun, penempatan di kawasan berkenaan semakin berkembang. Jumlah penduduk semakin bertambah setelah berlaku penghijrahan masyarakat luar ke kawasan tersebut.

Kerana ketokohannya sebagai guru agama, pemimpin dan pemerintah yang berwibawa, maka lelaki itu sangat dihormati dan disegani oleh penduduk tempatan. Beliau juga telah menggalakkan pembukaan lebih banyak lagi penempatan baru, terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman.

Dengan semakin berkembangnya jumlah kampung-kampung yang baru dibuka, maka semakin ramailah orang-orang dari daerah luar yang datang untuk menetap di sini. Secara tak langsung ia telah menaikkan lagi pengaruh dan kemasyhuran lelaki tersebut di kalangan penduduk tempatan.

Kera dan pucuk maman yang menjadi ilham kepada nama penempatan dibuka lelaki tersebut iaitu Kemaman.

NOTA : Lelaki dalam cerita di atas ialah Lebai Saras (juga dikenali sebagai Lebai Saris). seorang bangsawan dari Patani yang dipercayai individu terawal yang membuka daerah Kemaman di Terengganu.

Ia berdasarkan kepada catatan yang dibuat oleh Dato’ `Jaya Perkasa di dalam Annual Report of Trengganu, tahun 1925. Catatan bertulis tersebut adalah yang terawal sekali yang dapat dikesan setakat ini mengenai sejarah pembukaan dan perkembangan daerah Kemaman dari awal tahun 1800 hingga akhir tahun 1890an.

Lebai Saras dikatakan seorang yang berani dan alim. Beliau bersama-sama dengan anaknya, Abu Bakar, juga seorang yang pintar dalam ilmu hulubalang dan pengikut-pengikutnya telah lari dari Patani setelah gagal dalam satu pemberontakan Patani menentang serangan Siam dalam tahun 1810. Dalam kejadian tersebut, Datuk Pengkalan iaitu Raja Patani telah terbunuh manakala Lebai Saras dan pengikutnya berjaya menyelamatkan diri.

Kemunculan Lebai Saras dan anaknya dalam politik di daerah Kemaman telah membawa beberapa peristiwa penting sekitar tahun 1810-an hingga 1826. Antara beberapa peristiwa penting yang berlaku semasa pemerintahan Lebai Saras ialah beliau dipercayai orang pertama yang memberi nama Kemaman, yang diambil sempena gabungan haiwan kera dan pucuk maman. Ada juga yang mengatakan beliau terpandang seekor binatang ganjil seperti kera yang ekornya seperti bunga maman. Lalu diberi nama tempat itu Keraman sebelum dikenali sebagai Kemaman sehingga kini.

Kedatangan mereka ke daerah ini juga telah mencetuskan satu peristiwa penentangan secara terbuka buat kali pertama dalam sejarah negeri Terengganu terhadap kewibawaan dan kekuasaan Yang Dipertuan Negeri Terengganu. Akibat dari penentangan itu telah berlaku satu peperangan kecil yang dikenali sebagai Peristiwa Lebai Saras.

Lebai Saras disanjung dan dihormati sebagai orang berpengaruh di Kemaman dan mempunyai ketenteraannya sendiri. Beliau menggubal undang-undang sendiri dan menganggap Kemaman sebagai wilayah bebas. Bahkan, dia juga digelar Raja Negeri Kemaman.

Keengganan Lebai Saras untuk mematuhi arahan sultan di Kuala Terengganu telah mencetuskan peperangan kecil. Sultan Ahmad Syah l telah memerintah Engku Kembal pergi ke Kemaman untuk menangkap Lebai Saras dan anaknya. Akhirnya Lebai Saras dan Abu Bakar berjaya ditangkap. Kedua-duanya dibawa ke Kuala Terengganu dan dihukum penjara.

Lebai Saras dikatakan telah meninggal dunia di dalam penjara beberapa tahun kemudian setelah dikenakan hukuman sula dengan sula nipah. Mayatnya dibawa pulang ke daerah Kemaman dan dikebumikan di Kampung Nyior, Kemaman. Sehingga sekarang pusaranya masih lagi terdapat di kampung itu dan selalu dikunjungi oleh penduduk-penduduk tempatan.

Bagaimanapun, kisah Lebai Saras ini dikatakan bertentangan dengan sejarah lisan penduduk tempatan. Ada di kalangan penduduk di daerah ini lebih percaya daerah Kemaman telah dibuka oleh Che Wan Teh yang merupakan kerabat diraja Pahang. Manakala Lebai Saras pula hanya individu yang bertanggungjawab memajukannya.

Daerah Kemaman di Terengganu dikatakan dibuka oleh Lebai Saras.
Makai Lebai Saras dan ahli keluarganya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare