JOHOR Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka merupakan pasukan yang perlu digeruni apabila berjaya membelasah Selangor FC (SFC) 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan itu terus unggul berada di puncak carta Liga Super dengan mencatatkan rekod menang kesemua lima perlawanan setakat ini dengan jumlah jaringan keseluruhan 21 gol dan hanya bolos satu.

Keputusan itu jelas memberikan ‘luka berganda’ kerana SFC bukan sahaja terlepas tiga mata di tempat sendiri, tetapi rekod tanpa kalah jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe dalam Liga Super juga turut berakhir.

“Saya tidak sangka akan dibolosi sehingga empat gol tetapi JDT menunjukkan permainan yang lebih baik dalam perlawanan malam ini,” kata Cheng Hoe selepas permainan.

Walaupun menguasai permainan, pasukan pelawat itu hanya berjaya mencatatkan kedudukan 0-0 sehingga tamat babak pertama dalam perlawanan yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak negara.

Bagaimanapun, barisan pertahanan SFC mula hilang arah selepas Juan Muniz mencatatkan jaringan cantik pada minit ke-54 dan seterusnya lebih banyak gol berjaya disumbat JDT malam ini.

Diogo yang beberapa kali dikecewakan pada babak pertama berjaya meletakkan nama selaku penjaring kedua pada minit ke-65 selepas rembatan leretnya gagal diselamatkan Khairul Azhan Khalid.

‘Malam derita’ SFC di laman sendiri berterusan pada minit ke-75 apabila pemain JDT, Forestieri berjaya mendapatkan gol ketiga dan keempat JDT pada minit ke-82.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram