Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani GAMBAR: Abd Razak Aid

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang dikesan mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama atau kaum.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan pihaknya memantau rapi situasi keselamatan semasa.

Tegas beliau, tindakan tanpa kompromi itu akan dikenakan terhadap pihak yang menyentuh sensitiviti sekali gus mengganggu gugat keselamatan serta ketenteraman negara.

“Tahap keselamatan semasa adalah terkawal dan PDRM memberikan komitmen untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksana secara berterusan demi memastikan keselamatan kekal terjamin.

“Masyarakat dinasihat agar tidak mengeluarkan atau berkongsi kenyataan-kenyataan yang mampu menjejaskan keharmonian kaum atau membangkitkan kegusaran awam.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai sebarang tindakan sedemikian boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Sebarang usaha hangatkan suhu kaum, agama tidak diizinkan – PM

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, hari ini menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang usaha oleh pihak yang cuba mengadu-domba dengan menghangatkan suhu kaum atau agama.

Anwar menegaskan, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tetap teguh mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Perdana Menteri, beliau telah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk berwaspada terhadap sesiapa sahaja yang cuba menggunakan sentimen untuk menghangatkan suhu kaum.

“Saya telah tegaskan dan Kabinet bersama dalam hal ini untuk memastikan bahawa keamanan serta kedamaian semua kaum terus dipertahankan dan tidak akan bertolak ansur sedikit pun terhadap mana-mana usaha mengganggu gugat keselamatan negara,” tegas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram