PELAKON Zarina Zainuddin tidak menyangka selama ini menghidap penyakit sinus sehingga terpaksa menjalini pembedahan.

Kongsi Zarina, dia meluahkan rasa syukur kerana penyakitnya itu semakin pulih selepas membuang cecair yang terkumpul di wajahnya.

Walau bagaimanapun, Zarina akui masih adalah lagi kesan cecair yang tinggal di bahagian dalam hidungnya.

“Alhamdulillah, sinus saya semakin baik dan perlahan-lahan pulih. Tapi ada sedikit lagi yang tinggal di bahagian dalam hidung.

“Masa saya menjalani pembedahan, pasukan doktor pakar sudah membuang cecair tersebut tapi masih ada lagi baki cecair yang akan bergerak.

“Migrain saya juga sudah semakin baik. Sudah tidak terlalu teruk sebelum buat pembedahan. Saya memang tak tahu ada sinus sebab selama ini ingat anak saya, Azal seorang saja ada penyakit itu.

“Sebelum ini saya ada pergi ke luar negara. Cuaca pula terlalu sejuk jadi hidung saya selalu alami gatal-gatal. Bila buat pemeriksaan, doktor sahkan ia sinus,” katanya kepada URTV.

Ubah hidung?

Tanpa berselindung, Zarina akui ada membuat pembedahan minimal di bahagian hidung bagi kelihatan lebih cantik.

Katanya, sebagai seorang pelakon, dia perlu kelihatan menarik di hadapan kamera agak penonton tidak bosan menonton lakonannya.

“Selepas saya buat pembedahan dan buang cecair, saya ada buat sedikit pengubahan hidung saya sedikit. Kalau tidak nanti buruklah hidung saya.

“Saya ini pelakon takkan nak biarkan muka kelihatan tak cantik kan? Tapi saya tak adalah ubah sangat hidung ini sehingga berubah struktur wajah sebenar,” ungkapnya.

Dalam pada itu, Zarina enggan terlalu mengambil kisah mengenai cakap-cakap netizen yang mendakwa dia mengubah hidungnya semata-mata demi kecantikkan.

Tegas Zarina, mulut manusia tidak boleh ditutup. Justeru, dia hanya membiarkan kata-kata negatif itu berlegar di media sosial sehingga ia berlalu ‘pergi’ dengan sendiri.

“Lantaklah orang nak cakap apa pun pasal muka saya. Biarkan mereka terus membenci.

“Saya terangkanlah macam mana pun, kalau netizen tak suka, mereka tetap tidak akan suka.

“Saya pun bukannya muda lagi, dah tua. Jadi, malas nak fikir pasal banyak masalah ini. Nanti saya boleh jadi gila pula layan manusia toksik.

“Tak elok sebenarnya asyik nak marah-marah dan dengki dengan orang…kenalah selalu positif,” ungkapnya menutup bicara.