PELAWAK Ali Puteh akui terkejut serta terkilan apabila rumah peninggalan arwah ibunya, Allahyarham Sabariah Arshad di Batu 10 Gombak, Selangor itu bakal disita.
Ia susulan Ali atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan,34, masih gagal membayar ganti rugi sebanyak RM60,000 kepada balu Allahyarham Abam iaitu Nor Hidayah Mohd Ali seperti mana yang diperintahkan mahkamah sebelum ini.
Jelas Ali, konflik berkenaan hanya berlaku antara dirinya dengan balu Abam namun dia juga mempersoalkan mengapa harta milikan arwah ibunya turut diheret dalam isu tersebut.
“Kenapa perlu kaitkan dengan rumah arwah mak saya? Masalah itu antara saya dengan balu arwah Abam saja. Saya pun baru dapat tahu benda ini dan surat (mahkamah) pun baru sampai. Lagi pun, bukannya saya nak menolak untuk membayar RM60,000 itu.
“Saya akan cuba membayarnya juga. Cuma, tak bolehlah nak bayar ‘campak’ sekal gus sebab saya ada tanggungan keluarga. Kerjaya saya pun dah tak ada langsung dan mungkin akan bayar secara ansuran.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Balu Abam kesal sejam tunggu tapi tak dapat masuk rumah arwah, Ali Puteh pula dakwa Hidayah tabur ‘benda’ khurafat keliling rumah, Balu Abam, Hidayah minta Ali Puteh tak lengahkan bayaran ganti rugi seperti yang diperintahkan mahkamah, Menang kes saman fitnah, balu arwah Abam sedekah buah di surau
“Saya masih terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada pakcik yang memaklumkan rumah arwah mak di Batu 10, Gombak ini akan disita kerana perintah yang mahkamah sudah keluarkan.
“Saya jadi pelik sebabnya ini (rumah) harta arwah mak saya, kenapa pula dijadikan sebagai cagaran ataupun nak disita? Kes RM60,000 itu antara saya dengan balu arwah Abam. Tapi, kenapa kaitkan dengan harta arwah mak saya dan dicampur adukkan dalam kes ini?,” katanya.
Abam berkata demikian menerusi temu bual bersama Melodi yang disiarkan Ahad, hari ini.
Tegas Ali lagi, rumah tersebut bukan diatas namanya dan dia turut mempersoalkan dimana rasionalnya mengaitkan perkara yang tidak ada kaitan dengan isu yang berbangkit sebelum ini.
“Rumah arwah mak saya adalah di atas nama Allahyarham dan arwah bapa tiri saya. Ia bukannya diatas nama saya. Mana hati budi seseorang? Saya pun ada anak kecil.
“Dengan sitaan mahkamah, surat bercop (mahkamah) itu tidak sepatutnya terjadi. Nak balas dendam kononnya hukum karma, tak sebenarnya bukan.
“Saya dah tekankan, ini kes berlainan. Kes saya dengan balu arwah Abam lain dan kes faraid pun lain. Ia tak sama,” katanya.
Jelas Ali, selama ini dia mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri kerana enggan mengeruhkan keadaan selain sudah tidak tahan dirinya serta keluarga menjadi mangsa maki hamun orang luar.
“Saya diam bukan sebab saya takut tapi tak nak keruhkan keadaan lagi. Kes ini pun dah bertahun. Saya sendiri sudah tiga tahun orang maki hamun sebab keluar dari mahkamah dah kalah.
“Cakap apa pun tak akan dianggap betul. Tapi, percayalah cakap saya. Saya minta jasa baik keluarga balu berhenti video fitnah. Kalau awak perlukan RM60,000 untuk saya bayar. Insya-Allah, selagi ada daya, ada rezeki saya cuba bayar.
“Tak payah nak tunjuk siapa yang betul lagi dah buat masa ini,” katanya.
Terdahulu, URTV melaporkan Hidayah menggesa Ali agar melunaskan bayaran RM60,000 kepadanya seperti yang ditetapkan mahkamah dalam kadar segera tanpa kaedah ansuran.
Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram, dua tahun lalu.