TILAM dan bantal, benda penting yang wajib ada jika mahu tidur dengan selesa. Zaman sekarang, ia menjadi salah satu barang keperluan yang harus ada dalam bilik tidur. Namun, tahukah anda bagaimana asal usul penggunaan tilam dan bantal ini?
Sebenarnya, tilam telah mula digunakan sejak zaman Neolitik lagi. Pada zaman itu, manusia tidur berlapik bagi menghindarkan kulit daripada kesejukan gua batu. Tilamnya bukanlah seperti yang kita lihat hari ini. Sebaliknya, masyarakat pra-sejarah menjadikan daun kayu dan rumput kering sebagai tilam dengan melonggokkannya di satu tempat dan mereka tidur di atasnya.
Kemudian, peredaran zaman membuka pemikiran mereka dalam inovasi tilam. Kulit haiwan yang mereka buru kemudiannya dijahit dan dimasukkan rumput atau daun kering ke dalamnya. Konsep itu boleh dianggap sebagai teknik terawal ciptaan tilam seperti zaman sekarang.

Mengikut beberapa catatan kuno, tilam sudah mula digunakan di serata dunia sejak tahun 3000 Sebelum Masihi (SM) lagi. Ketika itu, tilam merupakan benda asas kehidupan masyarakat.
Kajian Mesir purba telah menemui Firaun Tuthanhamen mempunyai tilam yang diperbuat daripada bingkai emas dan kerangka kayu hitam. Meskipun begitu, rupa tilam itu masih tidak begitu jelas kerana apa yang mereka temui hanyalah kerangka yang dipercayai tilam.
Beberapa catatan kuno juga pernah menyebut, di Parsi terdapat sejenis tilam yang diperbuat daripada air. Ini menunjukkan teknologi telah merentas zaman dalam menghasilkan tilam di Eropah.
Sewaktu zaman kegelapan, tilam mewah yang diperbuat daripada bulu burung dan ayam telah menjadi perabot mewah yang menghiasi istana raja-raja perang dan pemerintah tanah-tanah naungan dan jajahan.
Ketika itu, masyarakat bawahan tidak boleh mempunyai tilam sebegitu. Mereka hanya menggunakan tilam yang diperbuat daripada kulit binatang yang berisi rumput kering dan daun kering.

Selepas zaman Renainsance, tilam yang mempunyai material yang lebih mewah mula dicipta. Sarung tilam sudah tidak menggunakan kulit haiwan sebaliknya mengguna pakai kain baldu dan sutera. Bahan dalam tilam juga dimajukan dengan menggunakan sabut kelapa dan juga ekor kuda serta bulu ayam dan burung.
Kemudian pada kurun ke-18, tilam moden seperti hari ini mula dicipta. Ramai pengkaji meletakkan tanda aras kurun ke-18 sebagai pencetus era kemodenan. Ketika era ini, pencipta tilam mula mengubah suai bahan dalaman tilam. Bahan-bahan yang lebih lembut dan selesa mula digunakan seperti kapas. Penggunaan benang emas dan jahitan tepi yang kelihatan mewah menambahkan lagi ciri-ciri mewah pada tilam.
Kemudian pada tahun 1850, katil besi mula diciptakan sebagai tempat untuk meletakkan tilam. Mengikut catatan, katil besi pertama direka bentuk dengan meletakkan spring sebagai penyerap hentakan untuk memberikan keselesaan kepada penggunanya.
Era tilam spring bermula selepas Perang Sivil di Amerika berlaku. Ketika itu, timbul satu masalah di kalangan askar yang berperang iaitu mereka tidak mendapat tidur yang nyenyak ekoran tilam yang keras dan tidak menyenangkan.
Menyedari keadaan itu, satu usaha untuk mengkaji tilam mula dilakukan. Hasilnya, sejenis tilam yang dinamakan innerspring mula diperkenalkan selepas tamat Perang Sivil.
Kemudian, selepas mengalami beberapa pembaharuan, akhirnya pada 1871, tilam spring mula diperkenalkan kepada penduduk dunia oleh Heinrich Westphal dari Jerman.

Semasa tahun 1873, Sir James Paget pula memperkenalkan tilam air yang berfungsi mengurangkan tekanan. Ia telah direka oleh Neil Arnott yang merupakan seorang doktor perubatan dari Scotland. Rekaan ini kemudiannya telah diubah beberapa kali untuk meningkatkan kualitinya.
Era perkembangan getah yang bermula tahun 1900 telah membawa kepada inovasi penciptaan tilam latex. Pada tahun 1929, tilam lateks pertama telah dijual dengan harga yang mahal. Pada kurun ke-19, William Lawrence Murphy memperkenalkan katil jenis Murphy Bed yang boleh dilipat dan disimpan dalam dinding rumah.

Itu tentang sejarah tilam. Bagaimana pula dengan bantal? Mengikut catatan lama, bantal mula dikesan ketika zaman Mesopotamia dan Mesir kuno lagi. Kajian arkeologi menemui sejenis bantal digunakan untuk melapik kepala Firaun sewaktu mumia Âmereka ditemui.
Mengikut perkembangan sejarah, bantal mempunyai evolusi yang cukup lama dan wujud dalam pelbagai rupa bentuk. Pada zaman dinasti kuno di China, bantal diperbuat daripada kayu, jed, gangsa, buluh dan porselin. Bentuk bantal diilhamkan daripada bentuk haiwan, tumbuh-tumbuhan, manusia dan juga corak geometri.
Wanita Jepun di zaman Edo menggunakan bantal keras yang diperbuat daripada batang kayu. Bantal ini tidak digunakan untuk melapik kepala. Tetapi ia digunakan untuk melapik tengkuk. Tujuannya adalah untuk melindungi rambut yang telah didandan rapi.
Pada zaman dahulu, bantal keras menjadi pilihan kerana ia dikatakan mampu menghilangkan penat dan mengekalkan tenaga dalam badan. Namun kini, masyarakat dunia sudah beralih kepada bantal moden yang lebih lembut dan memberi keselesaan kepada tengkuk dan kepala.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare