Apabila ibu tunggal berjumpa dan bercerita, banyaklah masalah berbangkit dari perbualan mereka. Pertama tentulah pasal nafkah daripada suami tak pernah dapat, turun naik mahkamah dah lebih 10 kali, makan masa lebih empat hingga enam tahun. Tapi nafkah tinggal janji, sampai kesudah tak pernah dapat. Ini yang menghairankan ibu tunggal.
Kalau kes terpencil di negeri selatan dan utara malah di pantai timur kita boleh terima akal, sebab masalah nafkah boleh dikatakan langsung tak dipedulikan walaupun dah naik mahkamah berkali kali. Tapi jika berlaku di negeri Selangor dan Wilayah yang sepatutnya menjadi contoh dan kebanggaan Mahkamah Syariah, malangnya masalah tetap berlaku. Kes tuntutan nafkah bertahun-tahun terpanggang tidak dilaksanakan.Â
Bab suami menghilangkan diri, tak pernah datang ke mahkamah bukan cerita baru, hantar surat saman tak pernah dipedulikan, hinggakan saman keluarga pun tak pernah datang. Yang tetap hadir hanyalah si ibu tunggal dan hakim pun jatuhkan hukum, tangguh lagi. Sebab bekas suami tak hadir.
Malangnya tidak ada tindakan dikenakan kepada bekas suami yang engkar. Terlepaslah dan tertawa besar bekas suami bebas daripada tuntutan nafkah. Kes tuntutan nafkah tertangguh ini tak tahu bila boleh selesai.
Menurut Puan Amey bukankah lebih senang setiap kali bila seseorang suami itu melafazkan talak kepada isterinya, maka dia juga diperintahkan terus bayar nafkah pada bulan berikutnya. Sebab anak-anak nak makan, nak minum dan nak belajar, mereka tak boleh tunggu tiga atau empat tahun hingga ayah mereka boleh bagi nafkah. Itu pun belum tentu entah bila.Â
Kata Amey lagi, takkan mahkamah tak tahu bahawa anak-anak tanggungjawab ayah, bukan ibunya. Kalau si ayah cacat, sakit, maka tugas beri nafkah jatuh kepada datuk sebelah bapa atau bapa saudaranya, bukannya kepada bekas isteri atau kaum keluarga isteri. Tetapi inilah yang berlaku dalam keluarga Melayu yang mendakwa konon beragama Islam tetapi bab nafkah tak pernah diambil peduli.Â
“Kepada bekas suami yang bertangguh-tangguh bayar nafkah, suka saya cadangkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah(JKSM) buat satu ketetapan arah KWSP potong simpanan bekas suami yang sengaja enggan bayar nafkah anak, terutama bila si ayah sudah berusia lebih 50 tahun.Â
“Kepada suami yang suka menghilangkan diri dan sukar dijejaki di mana dia bekerja dan tinggal, maka Mahkamah Syariah boleh arahkan LHDN keluarkan surat dan beritahu di mana si ayah itu bekerja supaya senang surat saman dihantar terus ke pejabat bekas suami. Sebab tanpa surat dari mahkamah tak ada jabatan yang mahu bantu selesaikan tuntutan nafkah anak-anak dari bekas suami.Â
“Masalah ini bukan dihadapi oleh seorang dua ibu tunggal, malah terlalu ramai, hingga ada yang hilang sabar langsung tak teruskan tuntutan. Berdoa kepada Allah boleh, tetapi anak-anak terus menjadi mangsa, terus menderita kerana tanpa nafkah dari ayah, kehidupan mereka terhimpit.
“Macam kes saya, bekas suami memang sengaja enggan bayar nafkah anak-anak semata-mata kerana ingin balas dendam dan hendak menganiaya saya, tujuannya supaya hidup saya susah. Terpaksa bekerja keras mencari duit siang malam untuk menyara anak-anak selain membiayai pelajaran mereka. Saya benar benar tak faham apa jenis ayah seperti ini.’’ Cerita Puan Sham yang sudah empat tahun masih belum dapat nafkah anak.Â
Puan Sham juga mengaku menghadapi masalah yang sama. Dia sudah jemu turun naik mahkamah, bekas suami dua kali tak datang, dua kali janji nak bayar tetapi membohong. Mahkamah suruh saya hantar surat saman sebab pegawai mahkamah sendiri gagal jumpa alamat bekas suami. Peliknya saya jumpa rumahnya tetapi dia tak ada di rumah.Â
“Akhirnya duit saya habis kerana perbelanjaan turun naik mahkamah, sedangkan bekas suami senang lenang melancong ke luar negara dengan isteri barunya. Saya tak kisah kalau dia nak kahwin pun, tetapi bayarlah nafkah anak-anak. Peliknya dulu dalam mahkamah dia minta tangguh dan minta kurangkan nafkah, konon tidak ada duit sebab tidak ada kerja. Tapi boleh pergi melancong. Mana ambil duit?Â
“Dalam keadaan harga barang khususnya makanan naik melambung-lambung sekarang, kehidupan kami tambah tertekan. Anak-anak sering bersungut kerana duit saku belanja ke sekolah tak cukup, tetapi ayahnya terus enjoy dengan kawan kawan tanpa sedikit pun rasa bersalah kerana tak beri anak makan.Â
“Bila anak-anak merungut belanja sekolah tak cukup, masalahnya bukan kepada ibu sahaja, tetapi kebimbangan saya masalah tak cukup duit ini boleh merosakkan masa depannya apabila dapat salah kawan dan cari duit dengan jalan tak betul.Â
“Anak sulung saya terus terang beritahu dia tak mahu bersekolah lagi. Dia nak cari kerja. Masalahnya kerja apa yang dia boleh cari kalau tingkatan empat pun belum habis? Dia memang tak mahu masuk tingkatan lima, katanya buang masa lebih baik cari kerja. Saya takut dia bercampur dengan budak-budak lain yang mengupah dia buat kerja tak betul.Â
“Ini semua kerana sikap ayahnya yang tak ambil peduli kehidupan anak-anak, dia lebih pentingkan nafsu dan dirinya sendiri. Dia tetap salahkan saya kerana tak tahu didik anak cara yang betul. Tetapi pada saya, dialah yang gagal dalam mendidik dan membesarkan anak.Â
“Saya pernah suruh dia ambil dan jaga anak-anaknya sendiri, bukan anak yang kecil tetapi yang sudah besar. Tetapi dia mengelak, alasannya rumah sewanya kecil dan jauh dari sekolah. Pada saya sekolah jauh bukan masalah, asalkan diberi duit tambang bas dan duit saku yang mencukupi, anak-anak boleh tinggal bersamanya dan dia boleh didik mereka dengan baik.Â
“Kadang-kadang saya fikir nasib dan masa depan anak anak yatim 10 kali lebih baik daripada anak-anak mangsa ceria. Sebab kalau mereka susah tak cukup duit, si ibu boleh minta bantuan zakat, baitulmal malah dapat derma dari orang perseorangan sebab menyantuni anak-anak yatim besar pahalanya.Â
“Berbanding nasib anak-anak mangsa cerai, siapa mahu bantu mereka? Sebab mereka ada ayah tetapi masyarakat tidak tahu ayahnya tak mahu bagi nafkah, tak pedulikan masa depan anak-anaknya sendiri. Kadang-kadang saya rasa dapat sijil mati suami lebih baik berbanding ibunya pegang sijil cerai, sebab masa depan anak-anak yatim lebih terjamin berbanding nasib dan anak-anak mangsa cerai.Â
“Tak lama lagi kita akan berpuasa dan sambut Hari Raya. Anak-anak yatim piatu sudah pasti dapat bantuan, tak kiralah duit ringgit, makanan, pakaian raya dan ditaja makan di tempat tempat istimewa oleh syarikat-syarikat besar dan orang ternama, berbanding anak-anak mangsa cerai, siapa nak ambil pedulikan?Â
“Semua orang kata anak-anak ini ada ayah yang boleh biayai kehidupannya. Malangnya dapat ayah yang tak tahu tanggungjawab di campur pula dengan hasutan ibu dan keluarganya yang terus meminggirkan anak-anak ini, semata mata kerana ibu bapanya sudah bercerai. Seolah olah terlepas sudah tanggungjawab seseorang ayah ke atas anak-anaknya, sebaliknya akan menjadi tanggungjawab ibu dan keluarganya!Â
“Saya ingin tanya pernahkah hakim, peguam malah keluarga si bapa tunggal ini nasihatkan anak-anak lelaki mereka tentang tanggungjawab beri nafkah anak dan mereka akan dituntut di akhirat kelak kerana gagal menjalankan tanggungjawab beri nafkah anak anaknya?
“Saya cadangkan ketika bercerai, mahkamah panggil sekali ibu bapa pihak lelaki seperti mereka menghantar anaknya nikah dahulu, supaya mereka diberitahu tentang tanggungjawab beri nafkah pada cucu-cucunya. Jika si bapa gagal jalankan tanggungjawab maka ibu bapa dan adik beradik lelakinya wajib tanggung nafkah anak-anak mangsa cerai ini.Â
“Jangan hanya masa hendak nikah, seluruh keluarga hadir sama dengar khutbah nikah dan merayakan pernikahan anaknya, tanpa mereka diberitahu tentang masalah jika perkahwinan itu gagal siapa yang akan bertanggungjawab beri nafkah anak-anak mangsa cerai ini.’’ Demikian pandangan Puan Sham.Â
Sementara itu, Pengerusi Kelab Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) Puan Siti Hajar Mohd. Arif ketika ditanya pandangannya tentang perbezaan nasib anak-anak mangsa cerai dengan anak anak yatim, beliau memelahirkan rasa kesalnya dengan keadaan yang amat menyedihkan ini.Â
“Pada pandanganan saya, melihat nasib malang anak-anak ibu tunggal yang jadi ahli KSIT, bahawasanya anak-anak mangsa perceraian ini tak ubah seumpama anak yatim tanpa batu nisan ayahnya. Kerana walaupun ayah mereka ada, hidup dan sihat walafiat TETAPI si ayah ini hilang ghaib entah ke mana.Â
“Akibatnya anak-anak mangsa cerai ini terpaksa bersusah payah meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan dan penderitaan mental. Malangnya tiada siapa mahu menyantuni dan memahami masalah mereka kerana zahirnya mereka ada ibu dan bapa.Â
“Lebih malang lagi, tidak ada orang akan percaya bahawa si ayah yang berlagak mewah itu tidak pernah bayar nafkah anak-anaknya! Kerana persepsi inilah anak-anak mangsa cerai sukar dapat bantuan dari pusat zakat, baitulmal, bantuan sekolah dan orang perseorangan.Â
“KSIT juga cukup hairan mengapa dalam hal berpoligami para hakim Mahkamah Syariah cukup memahami masalah dan tanggungan lelaki yang hendak berkahwin berpoligami. Tambah hairan ketika hendak mendaftar poligami, hakim boleh isytiharkan serentak nafkah isteri pertama dan isteri kedua, nafkah anak-anak dan pembahagian harta sepencarian.Â
“Tetapi mengapa pula kaedah yang sama ini tidak digunapakai semasa hakim Mahkamah Syariah mengesahkan jatuhnya talak pasangan suami isteri? Sepatutnya semasa disahkan perceraian, Mahkamah Syariah boleh terus tentukan nafkah anak dan hak jagaan anak.Â
“Tak perlulah nak tunggu si ibu tunggal ini turun naik mahkamah bertahun-tahun lamanya semata-mata hendak menuntut hak yang sememangnya telah termaktub dalam agama Islam yang mulia ini. Sikap double standard ini jelas menunjukkan Mahkamah Syariah tidak sensitif akan kebajikan anak-anak mangsa perceraian.Â
“Besarlah harapan KSIT agar Menteri Agama, Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turun padang dan lihat semula definisi penerima bantuan serta proses kerja Mahkamah Syariah ini agar tiada insan yang tertinggal dalam menerima hak mereka.Â
“Jika setiap pihak mengambil tanggungjawab lebih prihatin tentang nasib anak-anak yang tak dapat nafkah ini, sudah pasti nasib ramai lagi anak-anak mangsa cerai ini lebih terbela.,’ kata beliau penuh pengharapan.Â
Sekiranya anda ingin menghubungi penulis telefon 0192393419 atau 0122833142 dan jika anda ingin melahirkan masalah anda sila email ke [email protected] atau [email protected]