Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim GAMBAR: Abd Razak Aid

“JIKA anda mahu jadi aktivis mahasiswa, ya (teruskan) tapi jangan jadi macai, jangan jadi walaun.”

Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi soal jawab terbuka bersama belia iaitu ‘Temu Anwar’ yang julung kali diadakan, hari ini.

Perdana Menteri ketika menjawab soalan moderator, Amelia Henderson berkata, Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan terus melindungi hak bersuara rakyat untuk memberikan pandangan.

Kata beliau, kerajaan tidak akan bertindak selagi tidak menyentuh sensitiviti kaum dan agama serta memecah-belahkan rakyat.

“Fikir secara terbuka, yang benar-benar. Ya, kalau Anwar melakukan kesilapan, saudara berhak tanya.

“Saya nak pastikan Kerajaan Perpaduan ini tidak akan bertindak terhadap sesiapan pun kerana memberikan pandangan mereka. Kita akan lindungi hak anda.

“Tetapi seperti mana saya sebutkan semalam, kalau permainkan isu kaum dan agama untuk pecah-belahkan, minta orang bergaduh, saya akan ambil tindakan keras terhadap mereka,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Urus semula tender tebatan banjir, bolehkan kerajaan laksana projek lain guna dana sama – PM

Lebih 8,000 belia menyertai program dialog yang diadakan sempena Youth Empowerment Fair 2023 (YEF 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut mengimbau semula kenangan sewaktu terlibat sebagai aktivis mahasiswa sehingga dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting, Perak.

Jelas Anwar, beliau mula bertindak melawan rasuah sewaktu masih berada di universiti lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu pelajar bukan sahaja mencapai kecemerlangan tetapi juga mempunyai hati nurani yang tegar dengan sifat kemanusiaan.

“Saya mula menyerang rasuah semasa saya di universiti. Saya bangkit membela nasib petani miskin di Baling itu pada tahun 1974 kerana harga getah jatuh, orang jatuh miskin. Kita suarakan.

“Disebabkan hebat sangat bersuara, saya ditangkap dan simpan (dipenjara) di Kamunting dua tahun. Ada baiknya kerana buku-buku saya tak baca di universiti, saya baca di penjara,” seloroh Perdana Menteri.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram