Tun Dr Mahathir Mohamad. GAMBAR: Abd Razak Aid

TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Kerajaan Perpaduan ketika ini seolah-olah takut dengan bayang-bayang sendiri apabila menghalang perhimpunan Proklamasi Melayu yang sepatutnya disertainya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat terutama orang Melayu berhak untuk menegur kerajaan dan menyatakan rasa tidak puas hati.

Malah, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendakwa kerajaan ketika ini seumpama diktator kerana menghalang kebebasan bersuara.

Pada masa sama, Dr Mahathir mendakwa media di Malaysia sudah tidak lagi bebas membuat laporan kerana hanya akan memuji sesetengah pihak sahaja.

“Apa nak takut dengan kita ini, saya ini daripada Pejuang dahulu, bertanding 125 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kita kalah semua.

“Tak perlu takut kepada kita tetapi nampak takut sangat sampai tak boleh berjumpa. Tak bagi orang Melayu berjumpa.

“Kerajaan sekarang takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Hari ini kita lihat banyak halangan, media dihalang, tiada perkara buruk tentang kerajaan boleh dicetak. Jika anda membaca akhbar, anda fikir kerajaan ini adalah yang terbaik di dunia, sedangkan sebenarnya ia tidak memenuhi keperluan rakyat, khususnya orang Melayu.

Baca artikel berkaitan: Retorik Melayu gaya Tun Mahathir

“Mereka tidak peduli apa yang berlaku kepada Melayu, apa yang mereka laungkan ialah ini negara berbilang kaum dan bangsa terbaik akan menang.

“Kita mahu orang ramai dimaklumkan tentang apa sebenarnya yang berlaku dalam negara. Jika kerajaan fikir apa yang kami katakan itu tidak benar, sila buktikan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Perhimpunan Proklamasi Melayu anjuran Sekretariat Tanah Air yang dirancang hari ini terpaksa dibatalkan selepas tiga kali bertukar venue susulan tidak mendapat kebenaran.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam isu ini walaupun mengakui tidak mempunyai bukti berhubung perkara tersebut.

“Tiada siapa yang boleh buat seperti ini melainkan dengan arahan Perdana Menteri.

“Kami percaya daripada ucapan beliau mengenai saya dan anak-anak saya. Saya tidak bercakap apa-apa mengenai beliau. Saya percaya beliau terlibat dalam pembatalan ini untuk cuba menutup mulut rakyat yang mahu bercakap perkara betul,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram