DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin yang berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO memberi keutamaan untuk mengembalikan semula perpaduan dalam parti itu.
Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, masa berpolitik telah pun berakhir.
Jelas beliau, tiba masa semua ahli UMNO bertaut kembali sebagai keluarga besar demi mengembalikan parti itu ke persada kepercayaan bangsa Melayu.
“Saya menzahirkan ucapan terima kasih sedalamnya atas kepercayaan ahli UMNO untuk saya meneruskan tugas sebagai Naib Presiden.
“Ia adalah suatu pertanggungjawaban dan bukan sama sekali kemegahan.
“Insya-Allah, akan saya lunaskan amanah tersebut dengan memberi keutamaan kepada mengembalikan semula perpaduan dalam UMNO,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi mengajak semua ahli UMNO mengukuhkan kembali persahabatan demi parti, bangsa dan Islam lebih-lebih lagi dengan kedatangan bulan Ramadan.
Baca artikel berkaitan: Wan Rosdy tekad bina semula kekuatan UMNO
Menurutnya, era baharu dalam UMNO mesti dimulakan dengan semangat Ramadan yang menyeru untuk menyucikan diri dan kembali ke jalan rohani.
“Segala khilaf semasa kempen pemilihan, mari kita lupakan dan saling maafkan.
“Insya-Allah kita mulakan dengan mengikhlaskan diri untuk memulih, merawat dan membangunkan semula UMNO,” jelas beliau.
Mohamed Khaled menjadi satu-satunya penyandang yang berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO untuk penggal 2023 hingga 2026.
Dua lagi penyandang untuk penggal sebelum ini iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil keputusan tidak bertanding manakala Datuk Seri Mahdzir Khalid tewas dalam pertandingan lapan penjuru itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berada di kedudukan teratas dengan 127 undi diikuti Mohamed Khaled yang memperoleh 116 undi.
Satu lagi kerusi bagi jawatan itu diisi Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mendapat 110 undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram