TINDAKAN tegas akan diambil kepada orang ramai yang memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan mahupun pandangan berbaur kebencian yang membabitkan elemen perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R) di media sosial dan aplikasi pemesejan.
Itu amaran yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini.
Pengerusinya, Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, peringatan itu susulan beberapa insiden melibatkan elemen 3R yang berlaku semenjak kebelakangan ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian di dalam negara.
Jelas beliau, ucapan berbaur kebencian merujuk kepada kata-kata ucapan ataupun gambar yang menuduh, merendah-rendahkan nilai seseorang individu atas faktor perkauman, etnik, agama mahupun kewarganegaraan mereka.
“Sehubungan itu, MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R.
“Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Baca lagi: Langgar syarat lesen, MCMC pertimbang tindakan ke atas Awesome TV
Mengulas lanjut, Mohamad Fatih berkata, tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang- undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.
Menurut beliau, pentadbir portal-portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan digesa untuk menggunakan kuasa editorial mereka untuk menguruskan komen-komen daripada netizen di platform mereka.
Tambahnya, pihak penyedia platform media sosial pula diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam menurunkan kandungan-kandungan berbaur provokatif dan berbahaya apabila dikesan.
“Sekiranya terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Diraja dan perkauman, segera laporkan insiden tersebut kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan berikut https://aduan.skmm.gov.my/; talian aduan: 1800-188-030; WhatsApp di 016 2206 262 dan e-mel di [email protected] Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram