juara akademi Qurra'

Program realiti, Akademi Qurra’ terbitan TV Alhijrah akhirnya melabuhkan tirainya semalam dengan menobatkan tilmiz Fahmi atau Muhammad Nurfahmi Zainal, 23 sebagai Juara Akademi Qurra’ musim  pertama. Dengan kejayaan tersebut beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM25,000.

Naib Johan pula jatuh kepada tilmizah Nooraini Abdullah 40, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan turut memenangi Anugerah Alunan Terindah. Manakala tilmizah Maghfirah atau Nik Maghfirah Nik Abd. Rahman Zaki, 19 mendapat tempat ketiga yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

Tilmiz Zuhdi atau Muhammad Nur Zuhdi Mohd Daud, 25 pula hanya mendapat tempat keempat sedangkan tempat kelima disandang oleh tilmiz Akasyah atau Muhammad Akasyah Md Yunos 18.

Dalam pertandingan akhir ini para peserta telah diuji dengan 3 tugasan utama di mana tugasan pertama setiap peserta perlu mengalunkan al-Quran mengikut irama tarannum yang diarahkan oleh juri. Tugasan kedua pula setiap peserta perlu membaca ayat al-Quran beserta tarannum dan tadabbur ayat tersebut, manakala tugasan ketiga setiap peserta diminta membaca al-Quran sambil berduet (battle) dengan qari dan qariah jemputan.

Sementara itu menurut juri tetap Akademi Qurra’ Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, secara keseluruhannya markah yang diperoleh peserta pada pentas akhir ini sedikit mengejutkan kerana ada peserta yang dianggap boleh mendapat markah tertinggi namun gagal diterjemahkan dan sebenarnya inilah realiti sebuah pertandingan kerana masa beberapa minit yang diberi itu adalah medan mereka untuk dinilai.

Malah markah antara setiap peserta juga ada jurang perbezaan yang ketara disebabkan oleh penguasaan tajwid dan kemahiran mengolah tarannum kerana ada peserta yang sudah menguasai dengan baik dan ada yang belum lagi dapat menguasai secara keseluruhan.

__________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’