Bila tiba bulan puasa, ramai yang bercita-cita ingin menurunkan berat badan. Sudah mula pasang angan-angan, berkebaya Nyonya di pagi raya nanti. Tapi akhirnya, hanya tinggal kenangan. Di mana silapnya? Betul kita tidak makan dan minum, selama 13 jam. Tetapi bila tiba waktu berbuka, kita makan berlebihan dari sepatutnya.
Untuk menjalani amalan berdiet ini, sedikit sebanyak kita perlu ada ilmu. Kita perlu tahu, apa makanan yang boleh dan makanan yang tidak boleh diambil dalam menu diet seharian terutamanya di bulan Ramadan. SAJI kongsikan tip, diet yang betul di bulan Ramadan tanpa mengabaikan kesihatan.
TIP DIET DI BULAN RAMADAN
1.Jika kadar metabolisme anda rendah, elakkan makan berlebihan kerana proses pembakaran kalori yang dibakar adalah lebih rendah dan sedikit. Ia akan menimbulkan masalah berat badan, apatah lagi tiada aktiviti yang berat di waktu malam selepas berbuka.
2. Aktiviti senaman juga sebaiknya diteruskan meskipun kita berpuasa. Bezanya, kita boleh memilih aktiviti kecergasan berintensiti rendah dan kecergasan selama 30 minit setiap sesi untuk sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
3. Kurangkan pengambilan karbohidrat yang berlebihan. Lebihkan makan lauk, tetapi pastikan lauk yang kurang berlemak. Banyakkan mengambil sayuran dan buah-buahan serta banyakkan minum air kosong.
4. Elakkan makan banyak selepas menunaikan solat terawih dan tidur ketika perut masih kenyang kerana ia akan merangsang kepada kegemukan. Begitu juga selepas bersahur, dinasihatkan sekurang-kurangnya tidur tiga jam selepas makan.
5, Positifkan diri dengan membuat target berat badan yang realistik dan perancangan yang sesuai. Biar cantik pakai baju raya! Tapi jangan pula memaksa diri mencapai perkara yang tidak logik dalam masa yang terlalu singkat. Kita nak sihat, bukan sekadar cantik semata-mata.