mualaf bukan baru peluk islam
Bukan semua yang baru peluk Islam adalah mualaf

Hakikatnya di Malaysia, apabila seseorang yang terbuka hati menerima Islam akan disebut sebagai mualaf atau saudara baru. Istilah ini hanya sekali disebutkan dalam al-Quran surah at-Taubah: 60,

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan kewangan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Amat Mengetahui lagi Amat Bijaksana.

Berdasarkan dari ayat di atas, istilah mualaf sebenarnya memberi pengertian orang yang dijinakkan hatinya. Ia bukan bermaksud orang yang baru memeluk Islam sebagaimana yang difahami kebanyakan orang Islam di Malaysia atau seperti makna literal di dalam Kamus Dewan cetakan 2002.

Istilah ini memberi pengertian yang luas bahawa ia bukan hanya tertakluk kepada orang yang baru memeluk Islam. Bahkan istilah itu boleh diguna pakai kepada orang yang sudah lama bergelar Muslim atau yang sememangnya lahir sebagai Muslim.

Meluaskan cakupan perbincangan ini, Dr. Nur A’thiroh Masyaa’il Tan, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan, mualaf ialah mereka yang dijinakkan hatinya sama ada kafir yang memeluk Islam, atau Muslim yang dikuatkan imannya, atau juga individu kafir atau Muslim yang dikhuatiri keburukannya.

Penggunaan istilah itu di kalangan masyarakat Malaysia terlalu sempit, yang dikhususkan hanya kepada yang baru memeluk Islam. Sedangkan yang lahir sebagai Islam boleh juga digelar mualaf.

Dalam mazhab as-Syafie disebutkan terdapat empat jenis saudara baru iaitu, orang yang baru memeluk Islam dan imannya masih lemah. Kedua, orang Islam berpengaruh yang diharapkan dapat menarik kaumnya memeluk Islam. Ketiga, orang Islam yang berpengaruh terhadap orang kafir, dengan pengaruh tersebut, kaum Muslimin dapat terhindar dari kejahatan orang kafir dan yang terakhir saudara baru juga seseorang yang menolak kejahatan orang yang anti zakat.

Dari sudut pandangan semasa, ulama kontemporari tersohor seperti al-Sharawi dan al-Qaradawi mentakrifkan mualaf sebagai mereka yang dijinakkan hati dan galakkan mereka untuk menerima Islam atau sebagai tempat pertolongan bagi Muslimin. Mereka ini terbahagi kepada dua golongan iaitu, Muslim dan kafir.

Bagi mualaf Muslim, mereka yang telah memeluk Islam dan niatnya masih lemah, dengan pemberian zakat bertujuan menguatkan iman mereka. Ataupun mereka yang telah memeluk Islam dan niatnya telah kuat terhadap Islam dan mulia di sisi kaumnya, maka tidak perlu diberi zakat.

Manakala mualaf kafir pula ialah mereka yang membantu Muslimin untuk memberhentikan kerosakan oleh kaum kafir, dan mereka diberikan zakat. Hal ini disebabkan mualaf adalah salah satu daripada lapan asnaf yang berhak menerima zakat sebagaimana yang telah disebutkan dalam surah at-Taubah di atas.

Ulama seperti Rashid Ridha pula memberi pandangan bahawa terdapat enam kelompok yang termasuk dalam kategori mualaf. Dua daripada golongan itu bukan Muslim manakala empat daripada golongan itu adalah Muslim.

Mualaf Muslim terdiri;

Pertama, kelompok umat dan pemimpin Islam yang mempunyai lawan nuzara’  (bukan Muslim). Pemberian zakat terhadap golongan ini diharap akan membuatkan mereka memeluk Islam.

Kedua, pemimpin Islam yang ditaati, namun masih lemah imannya. Dengan pemberian zakat terhadap kelompok ini, diharapkan akan meneguhkan dan menguatkan imannya dan mendorongnya untuk berbuat berjihad dan melakukan kebaikan lainnya.

Ketiga, orang Islam yang menjaga benteng dan perbatasan negeri Islam dengan musuh.

Zakat diberikan untuk memotivasikan mereka dalam melindungi kaum Muslim daripada serangan musuh. Akhirnya, orang Islam yang diharapkan untuk menarik (balasan dosa) zakat daripada orang yang tidak mahu membayarnya, kecuali hanya melalui kekuasaan dan pengaruh orang tersebut.

Kekayaan orang ini diharapkan agar tidak terjadi hukuman pembunuhan terhadap orang yang tidak mahu membayar zakat, dan dengannya terciptalah kemaslahatan dan dapat ditemukan akhaf al-dararayn.

Bagi mualaf bukan Muslim ialah mereka yang diharapkan masuk Islam serta bukan Muslim yang dikhuatirkan akan mengganggu Islam. Pemberian zakat kepadanya diharapkan dapat menghindari bahaya daripadanya atau para pengikutnya.

Istilah yang keliru

Sementara itu masalah berkaitan kekeliruan perkataan mualaf ini turut dipersetujui oleh Pendakwah Bebas, Dr. Faisal Abdurrahman, berpendapat persepsi bahawa mualaf adalah orang yang baru memeluk Islam sukar untuk dikikis dan diubah dari minda masyarakat.

Walaupun satu ketika dahulu pernah pihak kerajaan cuba untuk menggantikan istilah mualaf kepada saudara baru atau saudara kita, tetapi penggantian istilah itu masih sukar untuk diterima oleh sebilangan besar masyarakat di Malaysia.

Sungguhpun begitu, ianya tidaklah menjadi isu yang besar. Hanya ada ketikanya  ditakuti akan wujud perbezaan darjat yang besar antara Islam dari sejak kelahiran atau yang baru memeluk Islam.

Hal ini disebabkan masyarakat masih menganggap mualaf (yang baru memeluk Islam) sebagai Muslim kelas kedua yang cetek pengetahuan tentang agama Islam.  

Akan tetapi ujar Dr. Faisal, ada baiknya juga apabila gelaran mualaf itu digunakan kepada mereka yang baru memeluk Islam. Dari segi kebajikan sudah pasti memudahkan jabatan agama atau Pusat Zakat memberikan bantuan zakat.

Pada masa yang sama, melihat istilah mualaf dari sudut yang positif, sudah pasti ianya akan memberikan satu tarikan juga kepada masyarakat. Contoh, apabila ceramah agama disampaikan oleh ustaz mualaf. Ia memberikan satu keterujaan kepada pendengar apatah lagi dengan sikap rakyat Malaysia yang sangat pemurah terhadap golongan mualaf.

Selalunya masyarakat Muslim sangat bermurah hati menghulurkan bantuan terutama dalam soal kewangan, seperti pengalaman rakan mualaf saya yang sering diberikan bantuan dari individu yang tidak dikenalinya. Hal ini disebabkan statusnya sebagai mualaf.

Selain itu Dr. Faisal yang sudah lapan tahun berkecimpung dalam arena dakwah kepada bukan Islambersetuju bahawa istilah mualaf ini tidak hanya terpakai kepada orang bukan Islam yang masuk Islam. Bahkan istilah ini juga boleh ditujukan kepada orang Islam yang tidak pernah mengamalkan ajaran Islam dan kembali kepada syariat Islam sebenar. Wallahu a’lam

__________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’