Pengecualian bayaran tol itu akan bermula pada 19 April (Rabu) hingga 21 April (Jumaat) dan 24 April (Isnin). GAMBAR: Abd Razak Aid

CADANGAN kerajaan untuk memecah monopoli Touch ‘n Go (TNG) dalam sistem pengangkutan dan jalan raya negara dilihat wajar agar dapat mewujudkan persaingan sihat selain memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna terutama dalam proses pembayaran tol di lebuh raya.

Penganalisis ekonomi dari Fakulti Perniagaan Universiti Kuala Lumpur Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata penambahan penyedia perkhidmatan selain TNG amat dialu-alukan dan diharap mampu menangani masalah kesesakan di plaza tol.

“Penambahan pesaing akan memperbaiki lagi mutu perkhidmatan TNG sendiri kerana dengan adanya persaingan yang baik maka ia akan memberikan kesan yang positif kepada pemegang taruh.

“Hal ini secara langsung akan memberikan banyak faedah kepada pengguna termasuk perkhidmatan yang lebih kompetitif, murah dan berkesan,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program dialog anak muda ‘Temu Anwar’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memaklumkan kerajaan akan mempertimbang semula monopoli TNG dalam pengangkutan dan jalan raya.

Program dialog anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) tersebut dikendalikan oleh selebriti Amelia Henderson dan dihadiri lebih 5,000 anak muda yang berpeluang bertanyakan pelbagai soalan kepada pemimpin nombor satu negara itu.

Turut senada Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Fakulti Perniagaan Putra Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kebiasaannya, syarikat yang memonopoli sesuatu perniagaan kurang berinovasi dan lebih cenderung mengenakan harga lebih tinggi.

Beliau berkata walaupun kadar tol dikawal oleh kerajaan, perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat TNG didapati kurang memuaskan terutama dalam mengendali soal pembayaran tol menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

“Pengguna tiada pilihan menyebabkan syarikat monopoli ini mengambil kesempatan ke atas pengguna, contohnya penjualan kad TNG dan tag RFID dengan harga yang tinggi,” katanya.

BERITA BERKAITAN Monopoli Touch ‘n Go mungkin ditimbang semula

Ahmed Razman berkata jalan terbaik dalam menangani permasalahan itu adalah dengan melaksanakan satu sistem yang boleh menerima pelbagai jenis pembayaran.

“… ramai ada idea mengenai perkara ini namun apa yang penting, kerajaan meneliti semua idea ini dengan terperinci dan melaksanakannya tanpa ada lagi monopoli kerana antara matlamatnya ialah memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna,” katanya.

Bagi Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Haslinda Abdullah, keputusan untuk mempertimbang semula TNG hanya akan memberi impak sekiranya ia membabitkan kesan secara terus kepada pengguna.

“Kepentingan pengguna ini kalau dapat diberi fokus akan memberi dampak yang sangat positif kepada kerajaan sedia ada tetapi keputusan itu juga harus mengambil kira perjanjian lalu supaya kerugian di pihak kerajaan dapat diminimumkan,” katanya.

Tinjauan di laman sosial Twitter pula mendapati orang ramai bersetuju dengan saranan itu malah mencadangkan jenis pembayaran yang boleh dilakukan.

Ciapan di akaun Twitter @shawn35154099 berharap sistem lebih canggih dan mudah akan digunakan selain memastikan tiada lagi kesesakan di plaza tol manakala @nonsnonsnons pula menulis “Tak kisahlah monopoli atau tak, yang penting cara bayaran kena pelbagai, boleh guna kad kredit, kad debit, kredit terus dalam bil telefon atau hantar bil dekat rumah. Kalau tak bayar jangan bagi perbaharui lesen.

@5unaidiy pula menciap “Cadangan saya kat tol dah boleh letak pelbagai pilihan pembayaran berbanding hanya TNG seperti kad kredit atau pembayaran secara imbasan macam negara-negara lain.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram