Mengikut catatan sejarah, proses pengawetan mayat telah dipelopori oleh bangsa Mesir sejak tahun 3000 Sebelum Masihi iaitu sewaktu proses  pembuatan mumia. Melalui proses ini, bangsa Mesir percaya bahawa kononnya roh si mati akan berada di sisi mayat selagi ia tidak hancur.

Selain bangsa Mesir, kaum Incas di Peru, penduduk peribumi Asli di Australia dan masyarakat di Cina pada Era Dinasti Han turut melakukan proses pengawetan mayat. Pada waktu itu, bahan pengawet yang digunakan adalah rempah ratus, herba dan damar wangi.

Mungkin proses itu juga yang membuatkan otak manusia juga mampu diawet? Pada tahun 2008, sekumpulan penyelidik arkeologi dari University of Bradford di England telah menemui satu tengkorak manusia yang dianggarkan berusia 2500 tahun.

Lebih menakjubkan, kumpulan itu yang melakukan ekskavasi di sebuah kompleks di University of York, Heslingston timur, menemui satu gumpalan otak manusia yang masih berkeadaan baik dan tidak reput di dalam tengkorak tersebut.

Menurut ketua kumpulan penyelidik itu, Dr. Sonia O’Connor, dia menganggap penemuan tersebut adalah sesuatu yang mengagumkan. Ini kerana, ia adalah penemuan yang pertama kali dalam sejarah arkeologi dijumpai.

Jelasnya lagi, penemuan tersebut dilihat sebagai  perkara yang bertentangan dengan hukum penguraian biologi. Berdasarkan kajian patologi, otak merupakan organ pertama di dalam tubuh manusia yang akan terurai disebabkan kandungan lemak yang tinggi. Berbanding dengan organ-organ lain yang kurang lemak, penguraian otak berlaku lebih cepat apabila semua fungsi badan terhenti setelah meninggal dunia.

Berdasarkan kajian selanjutnya ke atas dua tulang rahang dan satu tulang leher mendapati tengkorak itu berkemungkinan milik seorang lelaki yang dianggarkan berusia 26 hingga 45 tahun. Kajian tersebut turut menemui tanda-tanda kecederaan serius pada bahagian tulang leher seolah-olah lelaki ini mati akibat digantung atau kepalanya dipenggal.

Persoalannya, apakah penyebab utama gumpalan otak tersebut tidak terurai? Apakah ianya mungkin diawet dengan menggunakan bahan-bahan kimia tertentu?  

Sekalipun mempunyai pengalaman luas dalam bidang arkeologi dan pengawetan otak manusia, namun O’Connor masih tidak dapat menjelaskan secara terperinci bagaimana perkara itu boleh berlaku. Apatah lagi kajian yang dilakukan tidak menemui sebarang tanda bahawa otak yang dijumpai itu sengaja diawet.

Bagaimanapun beliau mengemukakan teori bahawa punca otak tersebut tidak terurai kemungkinan adalah disebabkan ia ditanam dengan serta-merta. Melalui kaedah ini, kemungkinan kandungan gas oksigen tidak dapat memenuhi ruang-ruang di dalam otak, seterusnya menyebabkan ia tidak reput.

Dr. O’Connor yang mengkaji gumpalan otak manusia pada tengkorak berusia 2500 tahun.

Pun begitu, teori tersebut disangkal oleh sesetengah pengkaji arkeologi lain. Ini kerana, mereka percaya bahawa otak itu tidak terurai kemungkinan disebabkan faktor perubahan fisiologi badan seperti rasa lapar, sekali gus mempengaruhi proses pengawetan di dalam otak.

Sementara itu, seorang Pengarah dari York Archeology Trust, England, Richard Hall turut mengemukakan teori bahawa tengkorak tersebut dianggarkan berusia antara 2400 hingga 2600 tahun.

Lokasi penemuan itu pada masa lalu merupakan wilayah penempatan tetap kerana terdapat sistem perparitan yang telah dibina oleh masyarakat yang mendiami kawasan tersebut. Dapat dipastikan, tengkorak itu bukan milik masyarakat Rom kerana penghijrahan mereka ke Heslington sekitar 71 Masihi, sedangkan anggaran usia tengkorak tersebut beberapa ratus tahun lebih tua daripada itu.

Selain sistem perparitan, di lokasi tersebut juga dijumpai dua objek lain iaitu bekas jerami dan bekas simpanan air. Peliknya, ketika ekskavasi dilakukan kumpulan penyelidik itu gagal menemui rangka manusia lain.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare