PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Singapura, Halimah Yacob di Istana Singapura, Januari lalu. GAMBAR: Pejabat Perdana Menteri

PRESIDEN Singapura, Halimah Yacob tiba di Malaysia hari ini sempena lawatan negara sulungnya ke negara jiran selama tiga hari sehingga 22 Mac.

Kunjungan beliau itu sebagai lawatan balas selepas menerima undangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengunjungi Singapura pada Oktober 2022.

Halimah dan delegasi Singapura termasuk Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan dan Luar Negeri, Dr Mohamad Maliki Osman serta Menteri Perdagangan dan Industri, Low Yen Ling tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.20 pagi melalui pesawat komersial.

Baca artikel berkaitan: PM adakan kunjungan hormat kepada Halimah, bertemu Hsien Loong di Singapura

Ketibaan Halimah dan delegasi disambut menteri pengiring Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan diberi sambutan kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Muhammad Akmal Hakim Sabarudin.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu akan mengukuhkan lagi hubungan baik dan kerjasama pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2022 dengan jumlah perdagangan berjumlah RM367.53 bilion (US$83.53 bilion) dengan peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram