DAKWAAN bahawa bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary sebelum ini adalah tidak benar.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan rekod Kementerian Kewangan (MoF), Perdana Menteri memaklumkan, Guan Eng semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan tidak pernah membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan percukaian yang sebelum didakwa diberikan kepada Yayasan Albukhary.
Menurut beliau, kelulusan pengecualian cukai pendapatan kepada Yayasan Albukhary dibuat di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53).
“Kerajaan mengesahkan daripada rekod MoF, Yang Berhormat Bagan (Guan Eng) ketika menjawat jawatan tidak pernah membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan percukaian yang sebelumnya didakwa diberikan kepada Yayasan Albukhary.
“Maka dakwaan yang dibuat bahawa beliau membatalkan pengecualian adalah tidak benar.
“Hakikatnya kelulusan hanya dibuat pada 25 Februari 2021 iaitu kelulusan pengecualian cukai di luar kebiasaan membabitkan Yayasan Albukhary dan Kumpulan Al-Bukhary,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Cha Kee Hin (PH-Rasah) mengenai dakwaan Guan Eng membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan sebelum ini.
Baca artikel berkaitan: Perjelas punca pengecualian cukai Yayasan Albukhary ditarik, Muhyiddin cabar Guan Eng
Ketika menjawab soalan tambahan Kee Hin mengenai Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 itu, Perdana Menteri berkata, kuasa pengecualian cukai merupakan kuasa mutlak Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bukan Menteri Kewangan atau Perdana Menteri.
Namun begitu, beliau tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana kes mengenai perkara tersebut masih dalam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah.
Perdana Menteri berkata, pendekatan kerajaan ketika ini agak berbeza berbanding langkah dilakukan dahulu iaitu meminta syarikat memindahkan kewangan besar, memberi pengecualian atau menderma kepada parti atau orang perseorangan.
“Saya memilih memanggil (Pengerusi Yayasan Albukhary) Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary memberi jaminan sokongan kepada projek yang memberi manfaat kepada negara dan bagi kepentingan pesawah miskin.
“Saya minta dia (Syed Mokhtar) derma kepada pesawah secara langsung iaitu RM60 juta kepada pesawah dan 30 peratus keuntungan yang dicatat lebih 20 tahun, ini pertama kali kita minta beliau lakukan.
“Ada pendekatan berbeza, satu serah kepada parti, satu lagi serah kepada pesawah padi. Saya pilih serah kepada pesawah padi,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram