Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor hari ini menetapkan tarikh sebutan semula kes cerai pelakon Muhammad Hafidz Roshdi dan isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri pada 9 Mei depan.

Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz bagi menjawab tuntutan baharu mendakwa terdapat isu lafaz cerai lebih awal.

Memetik laporan Harian Metro, Akberdin berkata, Nurul Shuhada yang dinamakan sebagai defendan membuat tuntutan baharu mendakwa Hafidz melafazkan cerai melalui WhatsApp pada 22 Januari lalu.

Menurutnya, dalam permohonan yang difailkan kedua-dua pihak pada 27 Februari lalu menyatakan lafaz cerai dibuat hanya pada 22 Februari dan tiada lafaz cerai lain dibangkitkan dalam permohonan terdahulu.

“Sedangkan dalam permohonan cerai hari ini, lafaz itu dikatakan dibuat pada 22 Februari, bermakna sebelum itu sudah ada lagi satu talak (dilafazkan) terhadap Shuhada.

“Kami juga terkejut, semalam kami terima salinan penyata pembelaan bersama tuntutan balas. Oleh itu pihak kami memohon tarikh baharu bagi jawapan dan pembelaan,”katanya.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Shuhada iaitu Nurfarhana Abd. Manaf mengesahkan pihaknya memfailkan satu pembelaan dan tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai yang lebih awal itu.

“Lafaz cerai pertama pada 22 Januari secara WhatsApp. Kami tiada bantahan mahkamah menetapkan tarikh lain bagi sebutan semula kes,” katanya.

Untuk rekod, Hafidz sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk hingga mencederakan Nurul Shuhada di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Selangor, 2 Mac lalu.

Pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan cara menumbuk menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 selain tertuduh perlu menjalani rawatan psikiatri dan pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak pada 28 Mac ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Siti Fatimah Talib yang membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.