
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan kepada bakal haji untuk musim 1444 Hijrah/2023 seperti tahun sebelumnya.
Dalam kenyataan bersama, KKM dan TH memaklumkan keputusan mengekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan semua bakal haji negara berada pada tahap kesihatan yang baik dari segi fizikal dan mental untuk melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
Menurut kenyataan itu, kriteria pemeriksaan kesihatan di bawah garis panduan itu termasuk menetapkan indeks jisim badan (BMI) tidak melebihi 40.
Selain itu, kriteria itu juga merangkumi penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes yang stabil, tiada penyakit serius seperti kanser; penyakit paru-paru yang kronik dan sebagainya.
“Walaupun Malaysia kini menuju ke fasa endemik, kerajaan harus menghormati keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang masih mengklasifikasikan COVID-19 sebagai pandemik,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemeriksaan kesihatan bakal haji merupakan aktiviti penting yang dijalankan oleh KKM dengan kerjasama TH.
Baca artikel berkaitan: TH akan keluar 31,600 surat tawaran haji kepada jemaah mulai Rabu
Kata beliau, ibadah haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental sekali gus aspek kesihatan harus dititikberatkan oleh semua bakal haji bermula di tanah air lagi.
“Pemeriksaan kesihatan adalah satu langkah positif agar semua jemaah haji mempunyai tahap kesihatan baik kerana ibadah haji melibatkan jutaan jemaah dari seluruh dunia.
“Semasa di tanah suci, jemaah juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak, elakkan daripada berhubung dengan mereka yang bergejala dan menjalani ujian RTK-Ag COVID-19 kendiri sekiranya bergejala,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, saringan kesihatan yang ketat pada musim haji lalu adalah satu langkah yang berkesan apabila peratusan jemaah haji yang mendapatkan rawatan pesakit luar dan dimasukkan ke dalam wad adalah amat rendah.
“Selaras dengan peraturan yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi dan KKM, setiap bakal jemaah wajib menjalani pemeriksaan kesihatan oleh doktor di klinik-klinik yang diiktiraf.
“Langkah ini adalah bagi memastikan jemaah haji negara berada pada tahap kesihatan yang optimum,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram