Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Turkiye, Hulusi Akar di Ankara, Turkiye. GAMBAR: Kementerian Pertahanan

MALAYSIA akan menyumbangkan sebahagian aset-aset Hospital Medan Malaysia kepada kerajaan Turkiye bagi membantu pemulihan perkhidmatan kesihatan di negara berkenaan.

Perkara tersebut dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada rakan sejawatnya, Hulusi Akar ketika mengadakan pertemuan di Kementerian Pertahanan Nasional, Ankara.

Mohamad dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye sejak Ahad lalu.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan, Mohamad turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga serta rakyat Turkiye yang telah terjejas akibat bencana gempa bumi pada 6 Februari lalu.

“Mohamad turut menzahirkan solidariti Malaysia bersama Turkiye yang sedang menghadapi keadaan mencabar masa ini dan komitmen bagi membantu negara berkenaan serta rakyatnya,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Dalam lawatan itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau telah melawat Hospital Medan Malaysia yang terletak di Celikhan, Adiyaman.

Beliau telah diberi taklimat oleh Brigadier Jeneral Datuk Dr Amran Amir Hamzah mengenai hospital medan tersebut sejak mula beroperasi pada 15 Februari lalu.

“Hospital Medan Malaysia telah memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat dan kawasan berdekatan yang telah terjejas akibat bencana gempa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengambil kesempatan beramah mesra dengan petugas-petugas di Hospital Medan Malaysia di Turkiye. GAMBAR: Kementerian Pertahanan

Baca artikel berkaitan: Kerajaan tak lupa jasa, khidmat, pengorbanan pasukan SAR di Turkiye – PM

“Mohamad turut mengambil kesempatan meluangkan masa beramah mesra dan berinteraksi dengan petugas-petugas Hospital Medan Malaysia semasa sesi makan tengah hari bagi menghargai jasa dan sumbangna mereka dalam mengharumkan nama negara,” katanya.

Menurut Kementerian Pertahanan, Mohamad dan Hulusi juga telah menyatakan komitmen untuk terus meningkatkan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Turkiye.

Jelas kementerian itu, ia merangkumi kerjasama ketenteraan serta bidang sains, teknologi dan industri pertahanan.

“Kedua-dua pihak turut membincangkan tentang perolehan sedia ada dan akan datang melalui mekanisme kerajaan-kepada-kerajaan (G2G).

“Mohamad turut menjemput Hulusi untuk menghadiri Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 yang akan diadakan Mei depan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram