AHLI Parlimen Bagan, Lim Guan Eng memberi tempoh sehingga hari ini kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf secara terbuka atas kenyataan berbaur fitnah melibatkan pembatalan pengecualian terhadap Yayasan Albukhary.
Pada masa sama, Guan Eng turut menggesa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menarik balik tuduhan tersebut serta-merta.
Sekiranya gagal berbuat demikian, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP menegaskan tindakan perundangan akan diambil ke atas Muhyiddin.
“Saya harap beliau menarik balik dan meminta maaf kepada saya. Kalau tidak tindakan seterusnya akan diambil bukan sahaja tindakan sivil seperti dinyatakan sebelum ini.
“Saya harap sebagai Ahli Parlimen beliau tahu apa yang berlaku sungguh pun tidak hadir tetapi saya harap beliau mengikuti perjalanan Parlimen.
“Harap beliau buat apa yang betul, secara bermaruah dengan menarik balik dan mohon maaf supaya perkara ini boleh diselesaikan. Kalau tidak saya terpaksa buat tindakan seterusnya,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu juga tidak menjawab surat tuntutan yang telah diserahkan kepadanya pada 15 Mac lalu.
Beliau turut mengulangi pendirian tidak pernah melihat fail atau memberikan arahan supaya pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary dibatalkan seperti didakwa.
Baca artikel berkaitan: Bukan Guan Eng batal pengecualian cukai Yayasan Albukhary – PM
Guan Eng mendakwa tindakan itu seolah-olah disengajakan bagi menimbulkan sentimen terhadap dirinya sebagai seorang bekas Menteri Kewangan bukan beragama Islam.
“Saya tak mahu diheret beliau dalam kes rasuah berkaitan Jana Wibawa atau kes pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary, kenapa nak libatkan saya?
“Saya juga tak pernah keluarkan satu kenyataan atau perkataan pun berkaitan Jana Wibawa atau Yayasan Albukhary.
“Saya rasa ini disengajakan untuk menimbulkan sentimen khususnya sebagai Menteri Kewangan bukan Islam membatalkan pengecualian cukai kepada institusi amal Islam.
“Ini tentu memenuhi hasrat PN untuk memainkan sentimen tidak sihat. Memang satu fitnah yang jahat yang tidak adil kepada saya,” jelas beliau.
Terdahulu, Perdana Menteri semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri mengesahkan bahawa dakwaan Guan Eng membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary adalah tidak benar.
Berdasarkan rekod Kementerian Kewangan (MoF), Perdana Menteri memaklumkan, Guan Eng semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan tidak pernah membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan percukaian yang sebelum didakwa diberikan kepada Yayasan Albukhary.
Menurut beliau, kelulusan pengecualian cukai pendapatan kepada Yayasan Albukhary dibuat di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram